BN tiada perjanjian dengan PAS, hanya persefahaman

Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi dengan PAS, sebaliknya hanya wujud persefahaman dalam perkara-perkara tertentu. Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, dakwaan kononnya wujud perjanjian antara kedua-dua pihak adalah tidak tepat kerana tiada sebarang persetujuan rasmi pernah dimeterai. “Kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS. Kalau ada perbincangan pun sekadar understanding atau persefahaman. “Kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu. Kita lihatlah perkembangannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 di sini, hari ini. Ahmad Zahid berkata, pengalaman sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyebabkan BN mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan PAS. Menurut beliau, apa yang dinyatakan parti itu sebelum ini berbeza dengan realiti yang berlaku menjelang hari penamaan calon dan hari pengundian. “Di Johor kita telah melihat apa yang dinyatakan mereka itu berbeza dengan realiti sebelum hari penamaan calon, apatah lagi pada hari pengundian. “Jadi jangan terlalu positif dengan mereka. Kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif. Mereka boleh tukar ‘goal post’ bila-bila masa,” tegasnya. Tambahnya, kenyataan yang dibuat pemimpin PAS ketika ini wajar dilihat sebagai kenyataan politik dan bukannya sesuatu yang boleh dianggap muktamad.-13/7/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.