Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg menegaskan, beliau tidak memikirkan soal Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) ketika ini, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha meningkatkan pendapatan negeri.
Menurutnya, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan hasil negeri terus diperkukuhkan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Saya tidak memikirkan soal itu (pilihan raya) sekarang.
“Saya sibuk memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan negeri untuk kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Dividen Akhir Amanah Saham Sarawak ASSAR) Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen kerana melihat ketika ini adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU-16.
Menurutnya, jika itu berlaku (desakan bubarkan Parlimen), beliau tidak akan terbabit.
“Terpulanglah kepada mereka, saya tak tahu kerana tumpuan saya sekarang adalah usaha untuk meningkatkan hasil negeri bagi memastikan Sarawak mampu meneruskan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dengan pesat.
“Ini kerana kerajaan negeri mahu memastikan seluruh rakyat Sarawak dapat bersama-sama menikmati kemajuan hasil daripada pembangunan yang rancak di negeri ini,” katanya.-13/7/2026

