Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Fadillah, Datuk Misiah Taib dalam kenyataan hari ni.
Menurut Misiah, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjalani pembedahan tersebut atas nasihat pasukan perubatan.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Petrajaya berada dalam keadaan stabil.
Namun begitu, katanya, Fadillah dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya serta tidak digalakkan menerima pelawat bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar.
“Sehubungan itu, pihak keluarga memohon agar orang ramai bersama-sama mendoakan agar urusan pembedahan dan rawatan beliau dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan dan dapat kembali bertugas seperti biasa.
“Pihak keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.-4/8/2026

