DAP biar ahli tentukan mahu kekal atau keluar Kerajaan Perpaduan…

DAP akan mengemukakan usul bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat baki penggal parlimen pada Persidangan Kebangsaan DAP yang dijadual berlangsung, 16 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan untuk membawa usul berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti yang diadakan pada malam Isnin.

Menurut beliau, keputusan muktamad akan ditentukan oleh para perwakilan menerusi proses pengundian, selaras dengan amalan demokrasi dalaman parti.

CEC tidak mengambil sebarang pendirian rasmi berhubung usul berkenaan bagi memastikan perwakilan bebas membuat keputusan, tanpa dipengaruhi kepimpinan tertinggi parti.

“Dalam persidangan kebangsaan pada 16 Ogos ini, satu usul akan dikemukakan kepada perwakilan dan para perwakilan dalam persidangan tersebut akan menentukan sama ada DAP akan kekal dalam kerajaan atau tidak untuk tempoh parlimen yang berbaki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat CEC DAP di Ibu Pejabat Kebangsaan parti itu yang turut dihadiri Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh dan barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

Tegas Loke, meskipun terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan anggota CEC, ia hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi DAP.

Namun, sebarang keputusan sama ada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau sebaliknya merupakan keputusan kolektif parti yang akan ditentukan oleh para perwakilan.-4/8/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.