Lebih 14.2 juta individu terima manfaat BUDI95 setakat Jun

Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus memberi manfaat kepada majoriti penerima yang layak, dengan lebih 14.2 juta individu telah menggunakan kemudahan tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara keseluruhannya jumlah penggunaan BUDI95 melebihi 13.4 bilion liter, dengan rekod penggunaan sebenar antara Oktober 2025 hingga Jun 2026 menunjukkan sebahagian besar pengguna menggunakan petrol RON95 pada kadar munasabah.

“Kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 direkodkan menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten, manakala purata penggunaan bulanan adalah sekitar 100 liter bagi setiap pengguna,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan mengenai impak penjimatan tahunan susulan pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata pelaksanaan BUDI95 dijangka memberi penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Katanya, jumlah penjimatan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga minyak mentah global, kadar pertukaran mata wang serta pola penggunaan sebenar petrol RON95.

Beliau menjelaskan bahawa lebihan hasil daripada pelaksanaan subsidi bersasar itu tidak disimpan sebagai lebihan fiskal, sebaliknya disalurkan semula menerusi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

“Antaranya termasuk peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang merupakan jumlah tertinggi pernah disediakan.

“Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi tahun ini juga meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.-4/8/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.