Prosiding pendakwaan berkaitan pengisytiharan aset terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang asalnya dijadualkan pagi ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah ditangguhkan ke 27 Ogos ini.
Ini kerana Ahli Parlimen Bera itu mengalami masalah kesihatan dan dimasukan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan.
Peguam Ismail Sabri, Amer Hamzah Arshad, membuat permohonan penangguhan itu kepada hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin, pagi ini.
Suzana kemudian menetapkan tarikh untuk mendakwa Ismail Sabri dibuat pada 27 Ogos depan.
Menurut Amer Hamzah, anak guamnya itu berdepan dengan masalah kesihatan ketika memberi keterangan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum beliau dibawa ke IJN. – 7/8/2026
Kes SPRM: Ismail Sabri didakwa esok di Mahkamah Sesyen KL
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Kes terhadap Ismail Sabri dipercayai berhubung pengisytiharan harta.
Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.-BERNAMA – 6/8/2026

