Kebelakangan ini bukan rahsia lagi ramai juga pemerhati politik yang pasang teropong mengintai Nurul Izzah Anwar selepas anak Perdana Menteri ini terpilih sebagai Timbalan Presiden PKR menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli pada pemilihan parti itu di Johor Bharu pada Mei 2025.
Ini kerana selain memikul tugas sebagai orang nombor dua untuk menunjang parti pimpinan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau juga secara otomatik ialah Pengarah Pilihan Raya PKR.
Namun dicelah pemilihan yang kontroversial itu hingga membawa kepada pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR ramai yang terhidu seolah ada yang tidak kena dengan ‘gelagat’ Nurul Izzah.
Ini kerana sebagai tokoh yang dikira senior dalam parti itu dan sudah tentu tahu tugas dan tanggongjawabnya…beliau tiba tiba telah ‘menyepikan diri’ dan tidak seligat dulu lagi.
Malah selepas prestasi PKR yang malap di pilihanraya negeri Sabah pada November 2025 Nurul Izzah makin tidak kelihatan di gelanggang PKR.
Ini pula diikuti dengan khabar rasmi yang diumum menerusi satu kenyataan PKR pada 26 Mei 2026 bahawa Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bersama dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menggantikan Nurul Izzah.
Maka beliau tidak berperanan dalam pilihanraya negeri Johor pada 11 Julai dan pilihanraya Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Sejak itu sudah berlegar pelbagai spekulasi mengenai Nurul Izzah termasuk kononnya beliau hendak lepaskan jawatan Timbalan Presiden.
Hari ini,6 Ogos nyata spekulasi ini benar.
Menerusi satu kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil beritahu Nurul Izzah telah memohon untuk mengundurkan diri dari jawatan orang nombor dua PKR.
Dalam satu kenyataan berasingan Nurul Izzah beri alasan beliau ambil keputusan itu untuk melanjutkan pelajaran.
Fahmi kata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan memberi cuti sementara kepada kepadanya bermula selepas Kongres Nasional 2026.
Selain itu Datuk Seri Saifuddin Nasution dilantik menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Menurut Fahmi keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepemimpinan parti.
“Selepas mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.
“MPP turut memutuskan supaya Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat MPP hari ini.
Dalam mesyuarat sama, MPP turut bersetuju melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
Mengenai Kongres Nasional 2026, Fahmi berkata, Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita PKR dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos ini.
Kongres akan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka selama dua hari pada 15 dan 16 Ogos ini dengan disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- 6/8/2026

