Entahlah berapa pusingan lagi pertikaian mengenai status parti BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN) akan berputar.
Kalau dinilai dari situasi semasa isu antara BERSATU dengan anggota utama gabungan itu yang dipelopori oleh PAS nampaknya seolah tidak ada titik noktahnya.
Semua orang tahu gabungan yang dipelopori PAS yang didokong kuat Parti Wawasan Negara pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mahu kibarkan sendiri bendera PN tanpa BERSATU.
Namun sehingga hari ini BERSATU tidak berganjak enggan keluar dari gabungan PN kerana mendakwa ia merupakan salah satu anggota pengasas PN.
Ramai yang melihat gabungan PN sudah jadi ‘cacamarba’ dengan pertikaian yang berlarutan tanpa ada tanda penyelesaian ini.
Siri terbaru pertikaian ini meletus pada hari ini, Jumaat bila Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dakwa keahlian BERSATU dalam PN terlucut secara automatik.
Dakwanya ini kerana Muhyiddin mengumumkan pembentukan gabungan baharu yang mana ia bercanggah dengan perlembagaan PN.
`
Baru baru ini Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilapor memaklumkan BERSATU akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos.
Muhyiddin dilaporkan berkata, gabungan baharu itu antara lain turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada BERSATU mengenai kedudukannya dalam gabungan PN kerana parti itu keluar dengan sendiri apabila membuat kenyataan berkenaan.
“Saya berpendapat PN tidak perlu mengeluarkan surat rasmi terutama membabitkan perlucutan itu… perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang.
Hadi menganggap BERSATU “terjerat sendiri” dalam percaturan mereka.
Namun Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Azmin Ali segera mengeluar kenyataan membidas kenyataan Presiden PAS yang mendakwa keanggotaan parti itu dalam PN tergugur secara automatik.
Azmin menegaskan dakwaan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana tiada mana-mana fasal yang memperuntukkan pengguguran keanggotaan sesebuah parti secara unilateral.
“Kedudukan BERSATU hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN, dan sehingga kini majlis berkenaan tidak pernah bersidang bagi membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
“Presiden PAS tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan BERSATU dalam PN.
“Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN,” katanya dalam kenyataan itu.
Azmin Azmin turut mendakwa tindakan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan, yang menghalang wakil BERSATU daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu sebagai satu pelanggaran serius terhadap perlembagaan gabungan itu.
“Mesyuarat tersebut difahamkan telah membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi dan kerjasama dengan BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Merujuk kepada Fasal 7.1 Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa setiap parti anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri, memberikan pendapat, dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi serta peringkat perhubungan berkaitan,”katanya.
Susulan tindakan itu, Azmin memaklumkan BERSATU akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan berkenaan.
“PN yang dikuasai oleh PAS tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan tersebut, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, serta bertindak secara semberono dan tidak demokratik,” katanya.-7/8/2026

