Sunday - 22, December 2024

Penyakit rusa zombi dibimbangi jangkiti manusia

Share

PULAK DAH… Ini satu lagi penyakit yang baru dikesan pada haiwan dan berpotensi membawa mudarat kepada manusia selepas selsema burung.

Penyakit Chronic Wasting Disease (CWD) atau rusa zombi yang boleh membawa maut serta dikhuatiri merebak kepada manusia, kata pakar kesihatan awam Amerika.

Ia merebak pada sebilangan rusa di sekitar Amerika Utara, manakala baru-baru ini, ia dikesan di Taman Negara Yellowstone (melibatkan negeri Wyoming, Idaho dan Montana) buat kali pertama.

Penyakit tersebut menyebabkan perubahan pada otak haiwan yang menjadikannya lesu, tidak tentu arah dan air liur kerap meleleh.

Haiwan yang dijangkiti itu termasuk rusa, elk, moose dan karibu. Ia kebiasaannya akan merenung kosong dari kejauhan sebelum menghidap penyakit tersebut.

CWD membawa maut dan tiada rawatan atau vaksin yang diketahui setakat ini.

Menurut saintis, CWD adalah ‘bencana yang bergerak perlahan’ dengan pihak berkuasa digesa bersiap sedia menghadapi kemungkinan ia merebak kepada manusia.

Penyelidik CWD, Dr. Cory Anderson memberitahu akhbar The Guardian: “Kita berdepan penyakit yang sering membawa maut, tidak boleh diubati dan sangat menular.

“Kita tidak mempunyai cara mudah yang berkesan untuk membasminya, sama ada terhadap haiwan yang dijangkiti mahupun persekitaran yang tercemar.

“Tiada siapa yang menyatakan bahawa ia pasti akan berlaku, namun adalah penting bagi orang ramai untuk bersedia.”

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, CWD telah dikesan di sekurang-kurangnya 31 buah negeri AS selain Kanada, Norway, Finland, Sweden serta Korea Selatan.

Read more

khabar terbaru