
Covid-19: Khabar gembira dari Menteri Kesihatan…
Bagi yang risau dan tertanya tanya mengenai situasi terbaru Covid-19 gara gara macam macam khabar angin berlegar mengenainya…sila dengar apa kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Dari kenyataan yang dikeluarkan pada pagi Jumaat rasanya buat masa ini kita boleh menarik nafas lega.
Beliau antara lain memberitahu setakat ini tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.
“Jenis sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1,”katanya.
Menurut menteri itu subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.
Secara keseluruhan Dr Dzul kata situasi semasa Covid-19 di negara ini terkawal.
“Kadar kemasukan pesakit yang dijangkiti virus itu ke hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus sekali gus menunjukkan kedua-dua parameter itu kekal pada tahap rendah.
“Kebanyakan jangkitan kes Covid-19 yang dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
“Untuk Minggu Epid ME-51 (17-23 Disember), kadar kemasukan pesakit yang menghidap Covid-19 ke dalam hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus.
“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah.
“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya.
Menteri itu memberitahu lagi virus Covid-19 akan terus berada bersama kita sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti Influenza.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan daripada segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,” katanya.
Beliau mengingatkan kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri seperti pemakaian pelitup muka pada situasi memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera, melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 di sumber boleh dipercayai.
“Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi Covid-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya. -29/12/2023