Kontroversi campur urusan agama Islam…Anwar bersuara

Kontroversi campur urusan agama Islam…Anwar bersuara
Kontroversi isu cadangan Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang dilihat cuba campur urusan agama Islam turut mengundang reaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu,Perdana Menteri menegaskan beliau mendukung penuh peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya rakyat khususnya bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
Anwar berkata namun jika terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Beliau berkata ia bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab.
Ngeh yang juga Pengerusi DAP Perak cadang kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.
Katanya langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.
Turut sama bersuara menentang cadangan Ngeh itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menyifatkan cadangan itu tidak berasas sama sekali.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Koo Ham ‘tidak berpijak di bumi nyata.’
Beliau mengingatkan cadangan wakil rakyat DAP berkenaan hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.
PAS turut membantah cadangan Ngeh.Ia disuarakan oleh Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengulas hal ini berkata cadangan itu Koo Ham itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.- 30/12/2023