TAHUKAH ANDA

Awas…merokok di premis makanan

Ingat balik ….larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan semasa Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kali pertama memegang jawatan Menteri Kesihatan (21 Mei 2018 – 24 Februari 2020) selepas pilihanraya umum 2018.

Pada 12 Disember 2023 baru ini beliau kembali pegang jawatan itu dalam rombakan kabinet yang dibuat oleh kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama Dr Dzul sinonim dengan peraturan larangan merokok di premis makanan yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Semasa ketiadaan beliau selama tiga tahun di jawatan berkenaan ada yang merasa penguatkuasaan peraturan itu semakin longgar dan banyak kejadian orang merokok di premis makanan tanpa tindakan.

Ditemui wartawan selepas satu majlis di Kuala Selangor yakni kawasan parlimennya pada petang Jumaat menteri itu mengingatkan bahawa bukan sahaja peraturan itu kekal malah akan dipertingkatkan menerusi pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata individu yang merokok di premis tumpuan umum itu dinasihatkan mengamalkan penguatkuasaan kendiri.

Katanya pihaknya bukan mahu menghukum, namun sebarang tingkah laku seseorang itu perlu bermula dengan kesedaran.

Beliau menjelaskan sesuatu perundangan itu tidak akan berjaya sekiranya semua pihak tidak memahami objektif utama pelaksanannya.

“Tujuan kita adalah mahu mengelak kaki rokok berkongsi asap ‘basi’ dengan kumpulan sasaran yang tidak merokok.

“Ia terutamanya melibatkan golongan warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak kecil,” ujarnya.

Dibawah peraturan yang ada merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis makanan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun RM250 boleh dikenakan.

Jika gagal membayarnya, mereka akan didakwa di mahkamah dengan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara.-30/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button