FOKUS

Siasat Daim…SPRM ‘buka cerita’

Isu siasatan SPRM keatas bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah mengundang pelbagai tafsiran dan spekulasi.

Antara lain ini mungkin kerana tiada maklumat yang jelas mengenai isu ini yang mula pecah dengan tersebar berita tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat miliknya di Jalan Binjai,Kuala Lumpur pada Khamis malam 21 Disember.

Mengikut notis SPRM sitaan keatas bangunan terletak tidak jauh dari KLCC itu sebenarnya berkuatkuasa 18 Disember.

Pada 23 Disember Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki secara ringkas memberitahu agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau tidak beri maklumat lanjut mengenai siasatan berkenaan kecuali kata proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Dalam pada itu laporan media yang berlegar kata SPRM menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Ia menjadi makin hangat bila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad buat kenyataan bernada sinis ‘siasat semua Tun’ yang dipercayai merujuk kepada siasatan keatas orang diketahui umum rapat dengannya.

Selepas itu Daim menerusi kenyataan dakwa siasatan itu adalah ‘buruan politik’ terhadapnya.

Pada pagi ini Sabtu 30 Disember SPRM telah mengeluarkan kenyataan memberitahu maklumat lebih terperinci mengenai siasatan berkenaan.

Katanya SPRM ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Daim mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Sambil mempertahankan bahawa SPRM bertindak secara profesyenal ia memberitahu dalam siasatan kes Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Katanya Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

“Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih),”katanya.

Kenyataan SPRM itu menjelaskan SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Katanya ia berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SPRM

TUN DAIM DISIASAT BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG, AKTA SPRM 2009 DAN AMLATFPUAA 2001.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Abdul Daim bin Zainuddin mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Pertamanya, SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Abdul Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Berhubung siasatan kes Tun Abdul Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih).

Tun Abdul Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah Suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA
30 DISEMBER 2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button