Thursday - 5, December 2024

Masjid megah hadiah negara UAE kepada Indonesia

Share

SALAH satu perhentian saya ketika kembara melintasi Pulau Jawa Disember 2023 adalah Kota Solo Jawa Tengah. Tempat yang terkenal kerana Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi berasal dari sini.

Ketika melewati pekan Solo, saya minta pemandu untuk ke Masjid Raya Sheikh Zayed yang dikatakan masjid baru termegah di Jawa Tengah.

Masjid ini baru di muka kepada umum pada 1 Mac 2023, merupakan hadiah persahabatan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada rakyat Indonesia yang diberikan melalui Presiden Jokowi.

Dari jauh kita sudah melihat menaranya yang menjulang tinggi, dan petugas-petugas mengarahkan kenderaan ke arah tempat letak kereta yang disediakan. Agak jauh perlu berjalan kaki, pemandu saya yang merupakan orang tempatan tahu jalan lain yang lebih dekat.

Kenderaan kami membelok di antara gerai dan lorong sempit untuk mendapatkan tempat letak kereta yang dekat. Syukur kerana beliau orang tempatan, tahu bahasa dan ‘kode’nya, mudah sahaja dapat tempat parkir.

Ketika kami berjalan ke arah masjid, anak saya, menunjukkan Gereja Sola Gratia yang terletak betul-betul di seberang jalan masjid. Memang masjid sebelah gereja bukan sesuatu yang pelik di Indonesia, Masjid Istiqlal (macam Masjid Negara) di Jakarta juga terletak sebelah menyebelah dengan Gereja Katedral.

Semacam menunjukkan toleransi agama yang kuat bersandarkan falsafah Pancasila negara tersebut.

Untuk masuk ke kawasan masjid, kawalan keselamatan juga ketat, semua beg akan diperiksa, dan perlu masuk ke mesin scan seperti di airport selain pengunjung diberikan plastik hitam untuk meletakkan kasut masing-masing pada tempat disediakan.

Kami sampai kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu Maghrib, jadi ada peluang untuk meninjau dan membaca info-info berkenaan masjid ini di kawasan yang disediakan.

Jangan terkejut masjid ini merupakan replika Masjid Agung Sheikh Zayed di Abu Dhabi, ia ditiru sebiji dengan masjid asalnya tapi dengan keluasan yang lebih kecil.

Masjid ini mempunyai empat menara yang menjulang tinggi, satu kubah utama, dikelilingi oleh kubah kecil, dan hiasan bangunan Timur Tengah.

Binaan masjid ini memang nampak hebat terutama pada bahagian kubah dan lantai. Masjid ini dilengkapi dengan 82 kubah ala Maghribi yang dihiasi marmar putih.

Lantai dan beberapa dinding Masjid Sheikh Zayed di Solo menggunakan marmar Itali. Masjid Sheikh Zayed dibina di dua tingkat, dengan keluasan bangunan masjid utama sekitar 8,000 meter persegi.

Masjid ini dilengkapi dengan bilik VIP, perpustakaan seluas 20 meter persegi dan ruang bawah tanah yang digunakan untuk berwuduk lelaki dan wanita.

Apa yang menarik, masjid ini barangkali satu-satunya masjid yang tidak menyediakan tabung derma.

Ya, Masjid Raya Sheikh Zayed Solo ini tidak menerima sedekah atau infak dari jamaah dalam bentuk apapun. Semua kos untuk pembiayaan bulanan masjid ini disumbangkan oleh kerajaan UAE, termasuk gaji imam, bilal dan semua petugas, selain kos baik pulih.

Selepas solat Maghrib, kami bergambar di sekitar masjid dan meneruskan perjalanan ke Surabaya.

Read more

khabar terbaru