FOKUS

Sanusi ‘gebang’ pasal Langkah Dubai: Dia ambil boleh….kita tak kan nak marah

Sebagai ahli politik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nampaknya tahu beliau ada point untuk tembak balik pasal gembar gembur isu Langkah Dubai.

Ketika pembangkang dikatakan nampak terperangkap dengan pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Selasa sahkan adanya gerakan itu untuk tumbangkan kerajaan perpaduan,beliau
tidak nampak dimana salahnya langkah itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terus tembak pasal lima Ahli Parlimen PN yang umum sokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gara gara kemelut wang peruntukan untuk kawasan.

“Lima orang (Ahli Parlimen PN) depa sokong (kerajaan) itu tak ada masalah, tak ada siapa complaint. Digambarkan sebagai tindakan yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi (maka) tindakan sebaliknya pun biasa saja.

“Kalau dia boleh ambil lima, kita boleh ambil 10 tak kan nak marah. Kalau sokong dia tak apa, kalau tak sokong dia tak kan tak boleh. Tentulah boleh juga, itu proses biasa dibenarkan Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di Alor Star Rabu.

Lima orang Ahli Parlimen PN yang mengambil tindakan mengejut itu ialah Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin,Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selepas itu timbul desas desus mengatakan ada sekitar tujuh lagi Ahli Parlimen PN yang akan bertindak sama.

Bagi Sanusi gerakan seperti Langkah Dubai adalah proses demokrasi yang tidak melanggar perlembagaan.

Ini pula,katanya tambahan dengan kelompongan yang ada pada Akta Anti Lompat Parti.

“Saya rasa proses yang dibenarkan oleh undang-undang boleh dijalani (kecuali) yang tidak berperlembagaan itu tak boleh lah. Tapi yang selari dengan Perlembagaan untuk menyatakan sokongan kepada siapa boleh.

Menurut Sanusi ‘Langkah Dubai’ atau apa sahaja panggilan yang diberikan bukanlah permulaan ke arah gerakan itu kerana hal-hal berkaitan telah dibincangkan lebih awal.

“Ada orang kata bukan Langkah Dubai, Langkah Chow Kit saja. Pasal benda itu dibincang di Kuala Lumpur saja pun. Tak payah pergi Dubai. Saya rasa Dubai itu dummy saja. Dulu depa namakan Langkah Sheraton, (sebenarnya) bukan kerana Sheraton itu makan-makan saja. Benda itu berlaku sebelum itu lagi,” katanya.

Serentak dengan itu sama ada beliau gempak atau acah saja itu cuma Sanusi sendiri yang tahu.Beliau mendakwa tahu bila peralihan kuasa akan berlaku.

Katanya beliau yakin kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak boleh bertahan sehingga habis penggal.

“Saya tahu (tarikh) tapi tak boleh beritahu (bila) menerusi peralihan sokongan yang akan berlaku. Secara demokrasinya tidak mustahil akan berlaku dan saya nampak ianya akan terjadi,” katanya.- 3/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button