Isu Ngeh Koo Ham ….BERSATU masih tak puashati

Bagi parti BERSATU isu Ahli Parlimen DAP Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang baru ini didakwa cuba campur urusan agama Islam belum boleh tutup buku.
Ia berpendirian begitu sekalipun Koo Ham sudah mohon maaf melalui Facebooknya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ketua Bahgian Bersatu Bangi pada Khamis keluar kenyataan mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap isu yang didakwanya ‘tak serius’.
Katanya BERSATU Bangi menolak permohonan maaf Koo Ham yang kononnya menarik balik cadangan supaya orang bukan Islam dilantik ke jawatankuasa berkaitan urusan orang Islam, dan turut menolak juga alasan-alasan yang diberikan oleh DAP mengenai perkara ini.
“BERSATU Bangi merasakan bahawa ini adalah taktik lama DAP yang telah berlaku berulang kali dan telah menjadi kebiasaan mereka, iaitu melontarkan pandangan yang biadap dan mengancam perpaduan negara kemudian dengan sambil lewa menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja.
“Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil pelbagai tindakan segera. Tetapi apabila DAP, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup,”katanya.
Beliau turut mendakwa tindakan DAP itu sengaja dilakukan, malah menyifatkan ia sebagai taktik lama yang sering dilakukan bagi parti itu untuk mengancam perpaduan negara.
Menurut beliau BERSATU Bangi mendesak agar ada ketegasan dalam isu ini dari dua sudut.
” Pertama, pihak berkuasa, baik PDRM mahupun SKMM, mesti membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen DAP yang sengaja menyentuh isu 3R.
“Kedua, para pemimpin UMNO perlu mengambil sikap tegas dan berusaha kembali menjadi jantan dengan cara menarik sokongan daripada Anwar Ibrahim sekiranya dia terus berlembut dengan kebiadapan DAP.
“BERSATU Bangi menuntut para pemimpin UMNO berhenti menjadi “apologist” dan jurukempen DAP di kalangan orang Melayu-Islam”.
Koo Ham cetus kontroversi barui baru ini bila cadang kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.-4/1/2024