TAHUKAH ANDA

Malaysia gesa dalang serangan bom di Iran didakwa…

MALAYSIA menggesa agar dalang insiden pengeboman di Wilayah Kerman, bahagian tenggara Iran yang meragut hampir seratus nyawa, semalam diheret ke muka pengadilan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook berkata Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti atas insiden berkenaan yang telah mengakibatkan lebih 200 orang cedera.

“Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu,“ katanya.

Anwar berkata sempena tahun baharu, Malaysia ingin mengajak dunia untuk bersama-sama membantah budaya ganas dan rakus seterusnya menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

Menurut laporan media antarabangsa, dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani.

Sementara itu, Presiden Iran memberi amaran kepada Israel yang rejim Zionis itu perlu ‘membayar harga yang mahal’ terhadap setiap jenayah dilakukan mereka.

Dalam masa sama, Presiden Ebrahim Raisi menyalahkan Israel atas letupan berkembar yang membunuh lebih 100 orang di tenggara Iran pada Rabu.

“Saya memberi amaran kepada rejim Zionis. Jangan ragu-ragu bahawa kamu akan membayar harga yang tinggi untuk jenayah ini dan jenayah yang telah anda lakukan,” kata Raisi dalam ucapan beliau yang disiarkan di televisyen.

Raisi, yang merupakan ketua kerajaan Iran memberi amaran bahawa hukuman yang akan dikenakan ke atas Israel juga sesuatu yang akan “dikesali dan berat.”

Kepada agensi berita CNN, “tiada komen” dikeluarkan angkatan pertahanan Israel mengenai letupan di Iran.

Sehingga kini juga, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan yang digelar Iran sebagai “serangan pengganas.”

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matt Miller memberitahu wartawan bahawa AS tidak “mempunyai maklumat bebas” mengenai letupan itu dan Jabatan Negara juga “tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa Israel terlibat.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button