FOKUS

Jangan lupa ‘Langkah Taiwan’…

Mana pula selepas Dubai….? Rasanya kalau cakap bab langkah demi langkah sampai kiamat pun tembak menembak antara blok pembangkang dan kerajaan tidak akan berhenti.

Dari sudut fakta diatas kertas tiada siapa boleh pertikai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan pimpinan beliau kini cukup solid.

Gambaran yang diberi Perdana Menteri bumbung kerajaanya yang kini sudah pegang majoriti lebih dua pertiga diperbuat dari konkrit maka tiada siapa boleh ‘tebuk atap’.

Atas sebab itu Anwar dilihat tidak bagi komenter yang serius pasal gembar gembur Langkah Dubai yang telah disahkan wujud oleh timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi.

Pembangkang boleh gigit jari bila beliau secara sinis kata ‘sampai hari ini PM masih Anwar Ibrahim, alhamdulillah’…

Namun kalau menyusup masuk ke alam nujum pak belalang politik… kita masih boleh dengar lagi bisik bisik yang cuba jolok ayat ‘sikit lagi tu’.

Ini untuk cucuk jarum bahawa usaha untuk tebuk atap kerajaan perpaduan masih giat dijalankan dan tunggu masa ia nak runtuh.

Dalam politik tiada siapa boleh sumbat mulut orang jangan bercakap sekalipun Zahid kata usaha untuk tumbangkan kerajaan cuma buang masa.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang namanya turut diseret konon terlibat dalam Langkah Dubai juga nampaknya tidak dapat menahan diri untuk cakap.

Menerusi aplikasi X bekas Perdana Menteri itu pada Jumaat menafikan beliau ada kaitan dengan gerakan itu.

Kata Mahathir beliau sudah lama tidak ke Dubai.

Dalam pada itu beliau halakan meriam kearah Anwar.

Untuk menguatkan hujahnya beliau bawa balik kenangan lama untuk mendakwa Anwar yang sebenarnya pakar dalam gerakan untuk bentuk kerajaan pintu belakang.

Beliau mengungkit pasal Langkah Kajang pada tahun 2014 untuk letak Anwar sebagai Menteri Besar Selangor ganti Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Langkah itu gagal bila Datuk Seri Azmin Ali yang dapat rezeki dipilih Sultan Selangor jadi Menteri Besar.

Tak cukup itu,Mahathir juga buka balik pasal gerakan 16 September 2008.

[Sementara itu Anwar yang ditemui wartawan selepas satu majlis di PWTC Kuala Lumpur Jumaat enggan mengulas komentar Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai pakar gerakan pintu belakang.

“Saya minta Tun jaga kesihatan,” katanya sambil senyum.]

Cuba buat carian di google balik guna ayat ‘Ahli Parlimen BN lari ke Taiwan’.

Bila klik akan keluar sebilangan cerita yang membawa tajuk antaranya ‘MP BN: Lawatan ke Taiwan untuk elak lompat parti’ dan ’49 MP BN ke Taiwan mulai hari ini’

Semasa gerakan 16 September 2008 Anwar dikatakan dakwa sudah ada cukup jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya termasuk dari BN.

Waktu itu hangat kisah Ahli Parlimen BN buat rombongan ke Taiwan atas alasan lawatan sambil belajar untuk tinjau sistem pertanian negara itu.

Bunyi alasan lawatan memang lawak habis….tetapi itulah al kisah dan faktanya.

Dalam satu keterangan di mahkamah pada 15 Disember 2014 bekas Timbalan Speaker Parlimen Datuk Ronald Kiandee dulu Ahli Parlimen BN kini Perikatan Nasional mengaku bahawa 40 MP telah dihantar melawat Taiwan sebelum 16 September 2008 untuk menghalang mereka daripada melompat ke Pakatan Rakyat.

Beliau buat pengakuan itu semasa pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman fitnah RM100 juta Anwar terhadap bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya lawatan itu bertujuan untuk menghentikan Anwar daripada mendatangi mereka.

Peguam Ranjit Singh bertanya sama ada lawatan itu dibuat bagi mengelak Anwar.

“Ya,” balas Kiandee, yang turut menyertai lawatan itu bersama sembilan rakannya dari Sabah.

“Adakah lawatan itu dibuat untuk mengelak 16 September daripada berlaku?” tanya peguam itu lagi.

“Ya,” kata Kiandee lagi sambil menambah lawatan itu dianjurkan oleh kelab penyokong kerajaan BN.

Turut serta dalam ‘lawatan sambil belajar’ itu ialah Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBC) waktu itu , Datuk Bung Mokhtar Radin.

Kata seorang pemerhati politik …kalau kisah itu dilihat dalam kontek sekarang ia senang senang boleh di gelar ‘Langkah Taiwan’.

Sebenarnya kalau nak dibanding dengan isu di London yang agak sepi dan kini Dubai yang riuh sikit….masa Taiwan suasananya memang cukup panas.

Bayangkan sampai kalangan Ahli Parlimen BN perlu dibawa ‘lari’ ke sana untuk elak mereka lompat.

Gerakan ambil alih kerajaan pada 16 September 2008 dikatakan gagal selepas cadangan untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat telah ditolak Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Soalnya sekarang selepas Taiwan kemudian London dan kini Dubai kota atau negara mana pula hendak dikaitkan dengan kemelut politik di Malaysia.

Sementara itu bercakap dalam sidang akhbar di Putrajaya Jumaat …Zahid sekali lagi menasihatkan pembangkang tekan brek dalam gerakan seumpama ini.

Beliau menegaskan usaha menjatuhkan kerajaan ketika ini tidak akan berjaya khususnya berdasarkan kepada keadaan semasa politik.

Katanya Premier Sarawak Abang Johari Openg sendiri sudah memberi jaminan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuainya tidak terbabit.

Di Sabah pula, katanya kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah pula sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Menurutnya kaedah menumbangkan kerajaan untuk diganti dengan yang baru kini tidak lagi dapat dibuat melalui kaedah akuan bersumpah (SD).

Semua orang tahu tanpa penyertaan Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah sebarang usaha tukar kerajaan menerusi pintu belakang tidak akan berjaya.

Zahid menjelaskan keadaan sudah berubah dengan adanya akta baru yang mengekang tindakan ahli parlimen ‘melompat’.

“Soal tebuk atap ni, saya fikir akuan bersumpah tak lagi boleh digunakan sebagai platform utama seperti sebelum wujudnya akta antilompat parti.

“(Dalam keadaan sekarang), sebarang keputusan besar dibuat oleh parti. Kalau mahu tukar (kerajaan) kena secara en bloc,” katanya.- 5/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button