FOKUS

Langkah Dubai…dengar ini cerita pula

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ( gambar – kiri sebelah Fahmi Fadzil) adalah antara nama yang kerap disebut bila orang politik sembang pasal isu lompat parti.

Beliau ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang,Perak yang menang kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya Mei 2018.

Namun ekoran BN kalah teruk semasa pilihanraya umum ke 14 itu beliau lompat keluar untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Setelah kerajaan PN mengambilalih tampuk kerajaan, beliau lompat menyertai BERSATU pula.

Dalam pilihanraya umum 14 Syed Abu Hussin menewaskan tokoh PAS Datuk Idris Ahmad.

Semasa pilihanraya umum ke 15 pada November 2022 beliau berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu atas tiket PN.

Namun beliau sekali lagi beralih angin pada 29 November lalu.

Kali ini beliau tidak lompat parti dan kekal dalam PN namun umum sokong kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini gara gara isu blok pembangkang tidak dapat peruntukkan kewangan untuk jaga kawasan.

Selain Syed Hussin,empat Ahli Parlimen PN lain ambil langkah yang sama.Mereka tidak lompat kerana ada sekatan Akta Lompat Parti tetapi umum sokong kerajaan.

Mereka ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada Sabtu Syed Abu Hussin mengiringi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan PPR Kerinchi, di Kuala Lumpur.

Ditemui wartawan pada majlis itu beliau telah ‘buka cerita’ yang agak menarik.

Sebenarnya beliau pernah memberitahu hal ini kepada wartawan tidak lama dulu.

Namun dalam konteks politik yang tengah panas dengan gembar gembur pasal Langkah Dubai apa yang Syed Abu Hussin cakap ini dapat menjadi petunjuk yang penting.

Syed Abu Hussin dakwa bahawa sekurang-kurangnya lapan Ahli Parlimen pembangkang lagi akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata Ahli Parlimen terbabit dijangka akan mengisytiharkan sokongan berkenaan pada sidang Parlimen akan datang.

“Masih releven (kenyataan sebelum ini)…menunggu masanya untuk isytihar (sokong Anwar), ada tujuh ke lapan orang.

“Parlimen belum mula lagi, bila Parlimen mula Februari ini, aktiviti itu bermula balik, mereka tunggu dan lihat apa akan berlaku sepanjang dua bulan ini,” katanya.

Pada Jumaat kelmarin blogger Raja Petra Kamaruddin menerusi saluran You Tube beliau mendakwa blok pembangkang sudah dapat sokongan 120 Ahli Parlimen untuk tumbangkan kerajaan Anwar.

Raja Petra juga mendakwa tiga Ahli Parlimen PN yang sebelum ini sokong kerajaan perpaduan sudah kembali ke blok pembangkang manakala dua lagi sudah tunjuk minat yang sama.

Blogger itu mendakwa Yang Dipertuan Agong pada minggu depan akan panggil seorang demi seorang semua Ahli Parlimen berkenaan untuk mendengar sendiri pengakuan mereka.

Beliau juga mendakwa blok pembangkang setuju calonkan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri.

Mereka ialah dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin,bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam You Tube sebelum itu Raja Petra dakwa mereka setuju nama Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebagai calon tunggal untuk dipertimbangkan.

Namun beberapa jam selepas itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Adam tampil menyanggah dakwaan Raja Petra.

Lokman kata Raja Petra sendiri membuat dakwaan bercanggah berkenaan perkara itu.

“Pada 5 Januari lalu, Raja Petra sendiri membongkarkan calon perdana menteri Langkah Dubai adalah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

“Keesokannya, (Raja Petra) pula membongkarkan langkah ini memiliki tiga calon lain iaitu bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Raja Petra sendiri menipu Raja Petra,” kata Lokman dalam hantaran di Facebook.

Lokman turut berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) – yang memiliki 23 ahli parlimen – telah berkali-kali menolak untuk keluar daripada kerajaan pimpinan Anwar.

Selain itu, dia juga menyifatkan Raja Petra gagal memahami realiti politik di Sabah, dengan menyatakan Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan yang dipimpin Shafie Apdal tidak mungkin akan bersama-sama mengalih sokongan kepada PN.

“Hanya salah satu boleh beralih sokongan. Jika ada GRS maka tiada Warisan dan jika ada Warisan maka tiada GRS.

“Nampak sangat teori ini direka oleh orang Semenanjung mahupun (yang tinggal) jauh di London dan tak faham politik di Sabah,” katanya Lokman.

Dalam pada itu ada pemerhati yang rasa apa yang dikata Syed Abu Hussin sudah tentu menguatkan lagi persepsi yang menangkis dakwaan pasal Langkah Dubai.

Sebelum ini pada 1 Januari lalu Ahli Parlimen BN kawasan Lipis,Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad Timbalan Menteri Sumber Manusia menepis dakwaan beliau merupakan salah orang yang terbabit dalam gerakan Langkah Dubai.

Ketua UMNO bahagian Lipis itu kata fitnah yang dilemparkan bermotifkan untuk menimbulkan polemik selain sengaja ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apapun mahu tidak mahu paling tidak pada minggu depan semua orang boleh tengok sendiri apakah dakwaan Raja Petra itu benar dan samaada tangkisan dari Lokman ada asasnya.

Juga apakah cakap Syed Abu Hussin boleh pakai.

Sehingga saat ini…kecuali kenyataan politik itu ini pasal Langkah Dubai belum ada sebarang ‘pergerakan’ dilihat boleh bawa petanda menjurus kepada satu perubahan besar bakal berlaku dalam senario politik tanah air.- 6/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button