Sultan Johor tidak terima mengadap hingga angkat sumpah YDP Agong 31 Januari

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sehingga tarikh berkenaan baginda tidak akan terima menghadap kecuali majlis tertentu yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama menteri besar Johor serta kerajaan negeri.
Ini dinyatakan dalam kenyataan Pejabat Royal Press Office Sabtu.
“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.
“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah Sultan Johor.
Sultan Ibrahim yang dilantik Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2024.-6/1/2024