Kenyataan PM bikin pembangkang gigit jari…

Apakah ayat “Cukup sudah semua, tunggu hari sahaja” boleh dimainkan lagi selepas ini oleh blok pembangkang yang didakwa nak tabuk atap kerajaan perpaduan?
Pada ketika wujud debaran penantian konon Yang Dipertuan Agong hendak interbiu seorang demi seorang lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa sudah buat surat akuan bersumpah…Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul dengan satu kenyataan ringkas.
Kenyataan pada lewat petang Selasa sudah tentunya boleh bikin mereka yang berkenaan gigit jari.
Ia ibarat paku di keranda pada isu Langkah Dubai yang hangat di gembar gembur kebelakangan ini.
Menerusi kenyataan itu Anwar beritahu Yang Dipertuan Agong bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.
“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara,”katanya.
Anwar menjelaskan beliau mengadap baginda untuk menyembah maklum urusan kertas-kertas kabinet esok (Rabu).
Selain itu baginda turut mengulas beberapa perkembangan semasa.
Perdana Menteri menyertakan gambar arkib beliau bersama Yang Dipertuan Agong.
Pada Ahad lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang.
Blogger Raja Petra Kamaruddin menerusi saluran you tube dakwa blok pembangkang sudah serah senarai lebih 120 Ahli Parlimen kepada Istana Negara.
Dakwanya mereka sedang menanti Istana Negara panggil dalam masa terdekat seorang demi seorang Ahli Parlimen berkenaan mengadap.
Dakwanya Yang Dipertuan Agong hendak dengar sendiri pengakuan pendirian setiap Ahli parlimen berkenaan.
BERIKUT KENYATAAN PENUH PERDANA MENTERI
Kenyataan Media
Perdana Menteri
9 Januari 2024
Hari ini seperti kelazimannya saya menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas kabinet esok dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.
Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara.
Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.
Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.
Daulat Tuanku!
ANWAR IBRAHIM
Foto: Arkib