Thursday - 5, December 2024

Memancing di lubuk ikan Tasik Timah Tasoh

Share

SANTUARI Ikan Air Tawar Timah Tasoh di sini menawarkan pengalaman menarik kepada kaki pancing yang menginginkan cabaran memancing di tasik sambil menikmati panorama indah alam semula jadi Tasik Timah Tasoh.

Tasik berkeluasan 20 kilometer persegi itu, yang terletak di Empangan Timah Tasoh, Beseri, juga menjadi antara destinasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke Perlis kerana mempunyai pelbagai aktiviti rekreasi air yang santai dan menenangkan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Perlis Abd Azhar Abd Aziz, yang juga pengurus santuari berkenaan berkata selain memancing, pelbagai aktiviti lain ditawarkan kepada pengunjung seperti berkayak, menaiki bot ronda tasik, bot memancing dan jual beli ikan air tawar termasuk ikan pekasam.

“Pelancong yang menggemari aktiviti memancing boleh memilih santuari ikan air tawar ini sebagai destinasi pilihan mereka untuk bercuti bersama rakan mahupun keluarga kerana ia dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 7.30 malam.

“Untuk aktiviti perkhemahan pula, pengunjung boleh ke laman media sosial kami untuk tempahan tapak perkhemahan yang berdekatan dengan tasik dan melihat pemandangan matahari terbenam yang indah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abd Azhar berkata terdapat beberapa jenis ikan air tawar seperti lampam, talapia, belida, sepat, dan baung, selain spesies ikan asing seperti paecock bass dan toman di tasik itu yang menjadi antara tarikan kaki pancing.

Selain itu, katanya pengunjung juga berpeluang menaiki bot ronda menyusuri tasik sambil menyaksikan sendiri keindahan Bukit Chabang yang menjadi mercu tanda Perlis.

“Bagi bot ronda tasik bayaran dikenakan hanya RM50 untuk lapan orang dan RM60 untuk 10 orang, manakala bot sewa memancing pula bayarannya RM50 untuk tiga orang selain masing-masing RM10 dan RM15 untuk sewa kayak seorang dan berdua. Tapak perkhemahan pula dikenakan bayaran RM50.

“Di santuari ini juga terdapat kolam ikan yang pengunjung boleh santai bersama keluarga memberi makan ikan,” katanya sambil menambah terdapat kemudahan seperti gerai makanan, tandas dan surau untuk keselesaan pengunjung.

Sementara itu, pengunjung santuari ikan air tawar dari Kuala Lumpur, Mohamad Shakhir Saidy Ridzah, 23, berkata Tasik Timah Tasoh berbeza berbanding tempat lain selain mempunyai keunikan tersendiri untuk dinikmati pengunjung.

“Ini pertama kali saya datang ke sini dengan rakan-rakan, saya tahu kawasan ini memiliki pemandangan indah dan tenang yang tidak terdapat di tempat lain. Kawasan tasik juga bersih dan terjaga, selain terdapat pelbagai aktiviti menarik di sediakan,” katanya. -Bernama

Read more

khabar terbaru