FOKUS

Isteri Daim beri keterangan SPRM…dakwa suami difitnah

Ibupejabat SPRM di Putrajaya jadi tumpuan petugas media pagi Rabu bila isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anak lelakinya datang untuk beri keterangan.

Mereka tiba pada jam 10.05 pagi menaiki kenderaan MPV dan ditemani peguam, Rajesh Nagarajan.

SPRM baru baru ini sita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai,Kuala Lumpur milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Bercakap kepada wartawan di situ Naimah mendakwa tindakan keatas Daim sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Dakwanya kejayaan suaminya dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya,”ujarnya

Naimah berkata kerajaan tidak boleh cuba mencemarkan reputasi individu untuk “menyelesaikan pertelingkahan politik lampau”.

“Umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984. Malah media secara meluas merujuk beliau hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu,”katanya.

Sementara itu SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah memanggil Naimah serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin bin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin bin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, hari ini.

Katanya ketiga-tiga individu ini dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa satu Notis telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim bin Zainuddin di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala Notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora. Siasatan terhadap aset milik Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini juga masih terus berjalan,”katanya. – 10/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button