GRS Sabah tolak sebarang ‘langkah’…

Gerakan Langkah Dubai berdepan satu lagi halangan besar bila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendirian mereka terhadap cubaan untuk tebuk atap Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Nor dalam satu kenyataan Rabu malam berkata gabungan itu tidak akan sekali-kali mengambil bahagian dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berpendapat tindakan seumpama itu akan membawa kepada huru-hara dan menjejaskan kestabilan negara.
Hajiji mempersoalkan motif dan niat pelaku “Langkah Dubai”, adakah ia semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka sendiri tanpa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat.
“Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri kita, kenapa perlu rosakkan hubungan baik itu.
“Kami bekerja untuk kesejahteraan negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang tindakan yang akan meruntuhkan negara,” tegasnya.
Menurutnya, Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri hanya perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerimanya.
“GRS menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami yakin dengan kepimpinan beliau. Biarkan beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum ke arah kesejahteraan,” katanya.- 10/1/2024