Kes dana publisiti RM700 juta…SPRM dah rakam keterangan Ismail Sabri

SPRM mengesahkan agensi itu telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan pada Rabu agensi itu kata ia bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Kenyataan itu tidak menyebut bila dan dimana proses ambil keterangan dari Ismail dibuat.
Namun difahamkan ia dibuat di sebuah lokasi di Kuala Lumpur semalam.
Juga difahamkan ia berlangsung sekitar lima jam.
Selain Ismail SPRM dilaporkan turut menyiasat beberapa bekas pegawainya, termasuk pembantu Ismail yang dilantik secara politik ke jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu.
Pada November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebanyak RM700 juta dibelanjakan antara 2020 dan 2022 untuk menunjukkan pencapaian kerajaan.
Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM500 juta dibelanjakan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dari 2020 ke 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Ismail (2021-22).- 10/1/2024
BERITA SEBELUM INI : Kes dana publisiti RM700 juta…SPRM akan panggil seorang bekas PM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki enggan sebut siapa.
Namun begitu pada Isnin beliau mengesahkan seorang bekas Perdana Menteri dan bekas pegawainya akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes dana iklan dan publisiti RM700 juta.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak RM700 juta dibelanjakan antara 2020 dan 2022 untuk menunjukkan pencapaian kerajaan.
Sebanyak RM500 juta dikatakan dibelanjakan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari 2020 ke 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Yaakob (2021-22).
Azam yang ditemui wartawan selepas menghadiri program Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024, di Sepang kata siasatan lebih kepada bagaimana ia (dana kerajaan) dibelanjakan dan syarikat-syarikat yang mendapat dana. Itu penting.
Katanya SPRM telah pun panggil syarikat-syarikat berkaitan.
“(Mantan) PM dan juga mantan pegawai-pegawai yang terdekat dengan dia (akan dipanggil).
“Saya tak ada senarai jumlah yang akan dipanggil tapi tak kurang dari empat individu akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, buat masa ini hanya seorang bekas Perdana Menteri dipanggil.- 8/1/2024