Lepas 3 jam di SPRM….Sanusi elak jumpa media

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor biasanya cukup mesra media.Namun kali ini agak lain ceritanya.
Hasrat wartawan dan jurugambar hendak menyapa beliau dan mendapat sikit komentar selepas hadir di ibupejabat SPRM di Putrajaya pada pagi Khamis gagal.
Sanusi ke situ berhubung isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu keluar dari ibu pejabat SPRM pukul 11.37 pagi selepas hampir tiga jam memberi keterangan.
Difahamkan, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 pagi.
Beliau yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz warna kelabu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan walaupun disapa pengamal media yang menunggu di luar bangunan.
Media baru-baru ini melaporkan siasatan kes rasuah ini dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.
Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.
Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.
Pada 7 Januari lalu, Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.
Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.
Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun, menjelaskan kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.
Sementara itu Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim menerusi satu kenyataan mengesahkan Menteri Besar Kedah itu dipanggil berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah.
Beliau berkata, pihaknya kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Justeru, katanya Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dipanggil bagi melengkapkan siasatan berkenaan.
“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini juga, SPRM telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini,” katanya.
Hishamuddin bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.-11/1/2024