FOKUS

Insiden serangan bom petrol…PAS dan BERSATU tibai Ngeh Koo Ham

Ketika polis akan jalankan siasatan dari pelbagai sudut keatas kes serangan bom petrol di rumah Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar,Perak perang mulut semakin hangat antara Ahli Parlimen DAP kawasan Beruas itu dengan pimpinan PAS dan Perikatan Nasional.

Ini gara gara kenyataan beliau mendakwa kejadian pada awal pagi Rabu itu berpunca dari tindak tanduk PAS dan BERSATU mengapi-apikan cadangan beliau supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah pada 28 Disember lalu.

Polis Perak mengesahkan bahawa kebakaran itu disyaki sebagai perbuatan khianat.

Tiada kemalangan jiwa dalam kejadian 2.50 pagi itu.Namun tiga kenderaan dan anjung rumah Koo Ham rosak akibat kebakaran.

Semalam Koo Ham kata, beliau memaafkan pihak yang melontar bom petrol itu.

Bagaimanapun beliaumenuding jari kepada PAS dan BERSATU yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dalam reaksi beliau kata Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan membuat laporan polis terhadap Koo Ham.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan langkah ini bagi mengekang fitnah pemimpin DAP berkenaan berhubung kejadian itu.

“Kami mengucapkan takziah kepada Ngeh atas insiden yang tidak diingini ini, namun ini bukan menjadi tiket bagi Ngeh untuk membuat satu tuduhan tidak berasas.

“Ngeh tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenalpasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar insiden kali ini merupakan satu bentuk serangan,” kata Fadhli dalam satu kenyataan.

Susulan kritikan yang diterima, Koo Ham sebelum ini telah memohon maaf dan menarik balik cadangannya untuk memasukkan pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji semula bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata Ahli Parlimen DAP itu harus membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka secara bebas.

Beliau mendakwa kenyataan Koo Ham juga cuba menutup kesilapan lalu yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

“Ngeh juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu.

“Ngeh sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti kukuh.

“Justeru, sebagai langkah untuk mengawal Ngeh daripada mengulangi tindakan jahat sebegini, Pemuda PN akan menggerakkan laporan polis bagi mengekang fitnah sangkaan jahat yang cuba diwujudkan oleh Ngeh terhadap PN khususnya dan umat Islam umumnya,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyatan beliau menegaskan perbuatan khianat pihak tertentu membaling ‘molotov cocktail’ ke rumah Koo Ham sehingga menyebabkan beberapa
kenderaan pemimpin DAP itu terbakar tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang,tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni.”

Namun Hamzah anggap tindakan Koo Ham mengaitkan BERSATU dan PAS dalam insiden tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan. Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain.

Semua pihak perlu mengambil ikhtibar daripada kejadian sebegini agar berhati- hati dalam melontarkan sesuatu pandangan, apatah lagi jika ianya menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak
susu sebelangga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,”katanya.-11/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button