Abdul Wahab fail saman fitnah terhadap ‘Chegu Bard’, tuntut RM5 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abd Kader Jilani memfailkan saman terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegu Bard’ yang didakwanya memfitnah, berhubung penyebaran satu video yang mengandungi perbualan lucah.
Abdul Wahab selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi firma guaman Tetuan Faizal Rahman & Co pada 22 Disember 2023 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan Badrul Hisham sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutannya Abdul Wahab mendakwa defendan menerbitkan, menyiarkan dan mendedahkan penyataan-penyataan fitnah dalam bentuk video terhadap plaintif, melalui hantaran yang dibuat melalui laman Facebook defendan atas nama ‘Che GuBard’ dan ‘Che’GuBard Official’ untuk tontonan masyarakat umum.
Dakwa plaintif, video itu menggambarkan seolah-olah beliau bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM Dr Mohammad Agus Yusoff sedang berbual secara lucah, yang bertujuan menunjukkan kononnya plaintif terlibat dengan aktiviti tidak bermoral atau aktiviti homoseksual.
Selain itu, Badrul Hisham (defendan) juga telah menerbitkan semula video hantaran Facebook berkenaan di platform Telegram defendan atas nama “Che’gu bard Original”.
Abdul Wahab mendakwa laman Facebook dan Telegram itu merupakan milik defendan yang mempunyai akses dan kawal penuh ke atas laman-laman berkenaan, serta menerbitkan pernyataan-pernyataan fitnah bagi meraih manfaat untuk dirinya dalam bentuk populariti dan kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.
Sehubungan itu,Abdul Wahab menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan RM5 juta serta ganti rugi am dibayar oleh defendan dalam jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.
Abdul Wahab juga meminta mahkamah agar defendan membuat permohonan maaf kepada beliau dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dengan menyerahkan kepada peguam plaintif draf permohonan maaf untuk kelulusan plaintif.
Selain itu, plaintif juga memohon supaya defendan dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan plaintif (Abdul Wahab), menerbitkannya selama tempoh 30 hari berturut-turut di akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian dan News Straits Times secara bertulis.
Abdul Wahab turut meminta defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah dan video berkenaan daripada semua laman media yang berada di bawah pengetahuan dan kawalannya. – BERNAMA- 22/1/2024
KEMASKINI : Sultan Kelantan tarik balik anugerah ‘Dato Paduka’ kepada Dr Agus…
Darjah kebesaran yang bawa gelaran ‘Dato Paduka’ dianugerah oleh Sultan Kelantan kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, ditarik balik.
Menurut warta yang bertarikh 28 Disember 2023 penarikan balik Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) berkuat kuasa 2 Disember lalu.
Darjah kebesaran itu dianugerah oleh Sultan Kelantan kepada beliau pada 12 November 2011.
“Bagi menjunjung titah perintah Sultan Muhammad V, adalah dimaklumkan bahawa baginda perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DSPK) yang dianugerahkan kepada Mohammad Agus sebelum ini.
“Penarikan balik ini berkuat kuasa mulai 2 Disember lalu,” kata warta berkenaan.- 18/1/2014
BERITA SEBELUM INI : Kes Agus-Wahab sudah sampai ke pejabat Peguam Negara
Lama tak dengar cerita pasal kes bekas Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Dr Mohammad Agus Yusof dan pegawai agensi itu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Sebenarnya siasatan polis pasal kes gangguan seksual sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember lalu.
Hal ini diberitahu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin pada Selasa.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember 2023. Buat masa ini, kertas siasatan itu masih di dalam kajian dan semakan Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Mohammad Agus dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.
Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.
Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.
Berikutan itu Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.- 16/1/2024