KEMASKINI: Naimah isteri Daim berdepan lima tahun penjara jika bersalah…

Hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Itulah yang dihadapi oleh Isteri Tun Daim Zainuddin,Toh Puan Naimah Abdul Khalid yang didakwa ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi Selasa kerana gagal patuh notis SPRM isytihar 12 harta.
Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M Puravalen dan Alex Tan.
Naimah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Ya (tidak mengaku bersalah), saya minta bicara,” katanya ringkas dan tenang.
Sebelum itu Ahmad Feisal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.
“Tertuduh dalam kes ini adalah sama seperti tertuduh lain, kami berpendapat adalah adil untuk tetapkan syarat seperti tertuduh kes lain,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Yusof Zainal Abidin memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM250,000.
Dia membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang flight risk.
“Na’imah bukanlah terbabit dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya flight risk dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja.
“Na’imah tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk melawan kes ini,” katanya.
Azura membenarkan Naimah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan terhadap Daim.
Sementara itu Naimah telah beri kenyataan kepada media sewaktu di mahkamah berkenaan
Berikut kenyataan penuhnya:
Hari ini, saya telah didakwa atas kesalahan jenayah.
Tetapi tiada jenayah dilakukan oleh saya, dan ini akan saya buktikan di mahkamah.
Jenayah yang sebenar adalah perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suami saya serta melunaskan dendam politik terhadap beliau dan keluarga kami.
Jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam melunaskan dendam politik.
Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.
Jenayah yang sebenar adalah menyasarkan musuh politik anda dengan tuduhan yang direka-reka, sementara dakwaan rasuah melibatkan kroni politik digugurkan seterusnya menimbulkan kemarahan seluruh negara.
Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum.
Sejak malam tadi ketika berita tersebar bahawa saya akan didakwa, saya terharu dengan sokongan orang ramai, sebahagian besarnya tidak kami kenali, atas keprihatinan dan solidariti mereka. Saya ucapkan terima kasih, dan saya percaya akhirnya, saya akan dibuktikan tidak bersalah, insyaAllah.
Akhirnya, saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.
Sepertimana kata-kata Shakespeare yang sering kamu petik:
“Man, proud man.
Drest in a little brief authority.”
Yang selebihnya sudah diketahui.
Naimah Khalid
– 23/1/2024
BERITA SEBELUM INI : Naimah…isteri Daim akan didakwa di mahkamah Selasa kerana gagal isytihar harta
Kisah siasatan SPRM keatas bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya melangkah ke episod baru bila isterinya Toh Puan Naimah Khalid akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok Selasa.
Dalam satu kenyataan Isnin malam Naimah mengesahkan bahawa telah dimaklumkan bahawa dia akan didakwa kerana gagal mematuhi notis SPRM.
Katanya dia dimaklumkan mengenai perkara ini apabila SPRM hadir di hospital tempat suaminya sedang dirawat.
“Saya meminta pertuduhan ditangguh hanya sehari kemudian pada hari Rabu selepas prosedur perubatan suami saya, tetapi ini ditolak.
“Mereka berkeras saya didakwa esok. Saya akan berada di mahkamah esok. Saya akan melawan tuduhan ini,” katanya.
Sebelum ini kisah dia akan didakwa tersebar berdasarkan semakan Sistem e-Filing (EFS) mahkamah, tertera nama Naimah tersenarai di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.
Difahamkan dia akan didakwa bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal isytihar hartanya.
Naimah dan dua anaknya Amir dan Amin telah dipanggil ke ibupejabat SPRM di Putrajaya pada 10 Januari baru ini untuk diambil keterantgan.
Naimah baru baru ini mendakwa suaminya dianiaya atas kejayaannya.
Dia menegaskan bahawa keluarganya tidak pernah merahsiakan memiliki aset di luar negara yang didakwa hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sebelum pembabitan Daim dalam politik.
SPRM sedang menyiasat Daim berhubung pendedahan kekayaannya dalam kebocoran rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai Kertas Pandora.
Sebelum ini, Daim mendakwa, dia adalah ahli perniagaan yang berjaya dengan memiliki aset dan hartanah melalui aktiviti perniagaan yang sah sebelum terbabit dalam kancah politik.
Daim berkata jika dia kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif, nilai pegangan saham cair miliknya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion.- 22/1/2024