Soalan sudah terjawab pasal siapakah anak bekas Perdana Menteri yang diminta beri keterangan kepada SPRM.
Menerusi satu kenyataan pada petang Khamis SPRM kata ia telah menyerahkan perintah notis kepada ahli perniagaan Mirzan Mahathir.
Anak Tun Dr Mahathir itu diminta mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari, dalam siasatan berhubung maklumat dalam Kertas Panama.
SPRM berkata notis itu diserahkan Mirzan semalam ketika dia hadir di ibu pejabat suruhanjaya antirasuah berkenaan di Putrajaya.
“SPRM mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.
Menurutnya perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM berkata pihak mereka memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.
“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Kertas Panama merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016.
Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.- 18/1/2024
BERITA SEBELUM INI : Siapakah dia ….?
Hari ini ada teka teki….
Soalan ini hangat berlegar bila tersebar khabar SPRM mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri semalam,Rabu.
Keterangan berkenaan dikatakan berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990han.
Sejak merdeka tahun 1957 kita ada lapan bekas Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman yang pertama kemudian Tun Razak,Tun Hussien Onn,Tun Dr Mahathir,Tun Abdullah Badawi,Datuk Seri Najib…(balik kepada Tun Dr Mahathir ketujuh) kemudian Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang pegang jawatan sekarang ialah yang ke sepuluh.
Siapa agaknya dikalangan bekas Perdana Menteri ini yang ada anak yang diketahui umum ligat berniaga pada akhir tahun 1990han?
Jadi anak lapan bekas Perdana Menteri yang mana?
Kalau sebut bab perniagaan pada akhir tahun 1990an…rasanya kita sudah boleh tolak sebelah anak Tunku Abdul Rahman,Tun Hussien dan Tun Razak.
Tumpuan kini pada kalangan anak Dr Mahathir,Abdullah Badawi,Najib,Muhyiddin atau Ismail Sabri.
Dalam pada itu Ismail Sabri yang jadi Perdana Menteri 2021 hingga 2022 misalnya pada akhir 1990han anaknya masih kecil waktu itu dan tidak dengar kisah keluarganya dikait dengan perniagaan.
Muhyiddin pula jadi Perdana Menteri 2020 ke 2021.Kebelakangan ini tak dengar kisah anaknya niaga hujung 1990han.
Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri 2003 hingga ke 2009 manakala Najib dari 2009 ke 2018
Dr Mahathir pula dari 1981 sampai 2003 dan kali kedua pegang jawatan itu 2018 hingga 2020.
Semua orang tahu ada kalangan anaknya berniaga besar.
Namun Dr Mahathir pernah berkali kali menafikan guna pengaruh dan jawatannya bantu anak anaknya dalam perniagaan.
Apapun cuba kaji dan selak sejarah latar belakang keluarga mereka dalam cari jawapan.
Bernama melaporkan sumber SPRM ketika dihubungi memaklumkan individu terbabit dipanggil memberi keterangan termasuk bagi mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara.
Siasatan itu difahamkan terhadap syarikat kepunyaan individu berkenaan yang didakwa membeli sebuah subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Siasatan kali ini memerlukan dia mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara secara bertulis,” kata sumber itu.
Disember tahun lepas, media melaporkan SPRM telah memanggil individu terbabit untuk diambil keterangan berhubung dakwaan salah laku rasuah serta penyelewengan.- 18/1/2024