TAHUKAH ANDA

Langkah apa pula ni…?

Tiba tiba dengar konon ada ‘Langkah Seremban’. Ia sudah tentu ada kait mengait dengan Negeri Sembilan bila ibu negeri itu dijadikan nama lokasi.

Namun Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias segera potong cerita.

Ini gara gara ada yang bawa mulut konon wujud usaha untuk tumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

“Saya sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan serta bersama 13 ADUN lain akan terus menyokong dan mengekalkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,”tegasnya.

Beliau nafi wujud perbalahan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) dan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH).

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang ditemui wartawan ketika melawat pembinaan Masjid Kariah Kampung Kerangai di Jelebu Khamis.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diwakili 14 ADUN daripada BN, 17 PH dan lima daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti mudah membentuk kerajaan adalah 19 kerusi.

Menurut Jalaluddin mereka komited secara bersama memberi tumpuan membangunkan ekonomi dan masyarakat di negeri ini dan ketika ini sudah wujud persefahaman yang cukup baik antara BN dan PH.

“Kita komited dan akan terus menyokong dan mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar, tidak timbul isu mengenainya lagi,” katanya.- 18/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button