TAHUKAH ANDA

Najib boleh mohon dibebaskan atau DNAA September ini

Setakat hari ini Jumaat belum ada berita besar pasal status representasi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta.

Ini setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa, status representasi beliau untuk menggugurkan kes AMLA ini, masih belum mencapai sebarang keputusan.

Hakim, K Muniandy menetapkan perbicaraan kes AMLA yang dihadapi Najib, 71, selama lima hari bermula pada 17, 18,19, 23 dan 24 September.

Katanya Najib boleh memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebaskan sepenuhnya (DNA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta masa itu.

Beliau boleh buat permohonan itu jika pendakwa raya pada September depan masih belum membuat keputusan berhubung representasi berkenaan.

Pada permulaan prosiding, Mohd Ashrof memaklumkan pada hakim bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi justeru, beliau memohon tarikh lain untuk pengurusan kes.

“Disebabkan keadaan itu, pihak pendakwaan tidak boleh membuat keputusan berkenaan representasi yang dihantar oleh Shafee & Co. Kami dengan rendah hati memohon masa lagi, Yang Arif,” kata pendakwa raya.

Sehubungan itu, peguam utama Najib berkata memandangkan kes itu tergantung selama bertahun-tahun, maka mahkamah perlu memerintahkan agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan.

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 49 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.- 19/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button