PM akan hilang kuasa….

Siapa yang hendak mendengar pandangan politik yang ‘straight foward’ tanpa banyak korner baring boleh cari Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Orang Sarawak ini kini pegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yakni bos kepada para Senator di Parlimen.
Kalau diselak latar belakangnya Wan Junaidi boleh kira salah seorang otai di Parlimen Malaysia.
Beliau sudah menjadi Ahli Parlimen selama tujuh penggal bermula dari 1990 hinggalah ke tahun 2022.

Wan Junaidi mula jadi Ahli Parlimen Batang Lupar dan kemudiannya kawasan Santubong.
Bukan setakat itu beliau pernah jadi Timbalan Menteri dan tiga kali jadi Menteri.
Beliau tidak bertanding semula pada pilihanraya umum November 2022 dan kemudian dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ganti Tan Sri Rais Yatim.
Ini bermakna beliau jadi Ahli Parlimen selama 32 tahun.
Jawatan terakhir dipegangnya sebagai Ahli Parlimen ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang jaga urusan parlimen dan undang undang.
Wan Junaidi antara lain terlibat langsung dalam pengubalan Akta Lompat Parti.
Masa pengubalan akta itu beliau telah beri ingatan tentang beberapa kelompongan dalam akta itu.
Namun katanya ia tidak diendahkan oleh pihak Perikatan Nasional yang merupakan kerajaan waktu itu.
Maka timbullah baru baru ini kisah pelik dimana lima orang Ahli Parlimen PN umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan sudah ada Akta Lompat Parti.
Wan Junaidi berkata, beliau telah meramalkan apa yang akan berlaku semasa akta itu sedang dirangka dan bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.
“Jawatankuasa Pemilihan berbincang hampir dua bulan maka RUU (Akta Lompat Parti) dapat (diluluskan) tapi dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip digubal, digugurkan berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat.
“Jadi kalau Perikatan Nasional tak sokong, dua pertiga tak dapat dicapai. Kerana itulah RUU sekarang dikatakan ada kelemahan, bukan kerana jawatankuasa tak tahu.
“Kita tahu, sudah diberi amaran awal-awal lagi dari September 2021,” katanya.
Pada Jumaat Wan Junaidi menghadiri sesi soal jawab program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk “Akta Antilompat Parti dan Kestabilan Kerajaan di Kajang.
Di situ Wan Junaidi tegas mengatakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap ( yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi baru ini) tidak boleh dianggap sebagai tidak demokratik.
Beliau berkata banyak negara telah melaksanakan sistem itu yang mengekalkan kerajaan dalam tempoh penggal tertentu.
“Kalau kita lihat ini (parlimen berpenggal tetap) sebagai tidak demokratik, banyak negara di dunia ini (disifatkan sebagai) tidak demokratik sebab penggal (kerajaan) mereka adalah tetap.
“…bermakna di Amerika Syarikat, Filipina atau Indonesia itu juga (akan dianggap) tidak demokratik sebab penggal (presiden) mereka adalah tetap,” katanya.
Bagaimanapun Wan Junaidi berkata Akta Parlimen Berpenggal Tetap, sekiranya dikuatkuasakan, akan menggugurkan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kalau kita tetapkan tarikh PRU dalam masa lima tahun, maknanya kuasa Perdana Menteri itu yang kita tarik sebenarnya, iaitu untuk menentukan bila boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon baginda membubarkan Dewan Rakyat.
“Walaupun dalam Perlembagaan mengatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa iaitu kuasa yang kedua untuk menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat apabila diminta Perdana Menteri, tetapi berapa lama Yang di-Pertuan Agong menangguhkan itu tidak ada disebut,” katanya.
Pada 13 Januari lalu, Zahid mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.
Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi peristiwa seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 pada masa hadapan.
Sementara itu mengulas mengenai ‘kerajaan pintu belakang’ ,Wan Junaidi kata sebenarnya tidak wujud istilah seumpama itu.
Katanya adalah tidak bertentangan dengan perlembagaan bagi sesebuah kerajaan ditukar dengan cara para Ahli parlimen tarik sokongan kepada Perdana Menteri.
Katanya apa yang penting menurut perlembagaan ialah Perdana Menteri mesti mendapatkan sokongan majoriti Ahli parlimen atau sekurang kurangnya 112 Ahli Parlimen.
Istilah ‘kerajaan pintu belakang’ muncul selepas kerajaan Pakatan 22 bulan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang bila sebilangan Ahli Parlimen PN tinggalkan gabungan itu dan PKR lompat parti.
Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri.
Beliau juga menjelaskan mengenai persepsi konon surat akaun bersumpah (SD) boleh digunakan untuk menukar kerajaan.
Wan Junaidi kata SD cuma boleh digunakan sekiranya Ynag Dipertuan Agong memintanya sebagai ‘panduan’ untuk menentukan pihak mana ada majoriti.
Beliau juga memberitahu tindakan sesebuah parti membuat pindaan pada perlembagaan masing-masing bagi menghalang ahlinya, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, untuk mengalih sokongan kepada pihak lawan boleh dicabar di mahkamah.
Menurutnya ini kerana pindaan itu hanya boleh diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) selain berpendapat kerajaan juga perlu meminda semula Akta Anti Lompat Parti bagi menutup kelompongan yang ada dalam akta tersebut.
“Apabila sesuatu parti membuat satu keputusan pindaan, hanya RoS yang (boleh) menentukan sama ada pindaan itu sah atau tidak selepas pindaan itu disahkan tetapi akhirnya, mahkamah yang akan tentukan sama ada pindaan itu mencukupi atau tidak.
“Pindaan kepada undang-undang adalah lebih baik untuk menangani perkara ini kerana ia lebih terperinci dan akan datang dari undang-undang itu sendiri daripada diterangkan di tempat lain,” katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan perlembagaan parti pada Januari tahun lepas menghalang Ahli Parlimennya membelakangi keputusan parti termasuk yang melibatkan sokongan kepada mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, keahlian Ahli Parlimen UMNO yang menyertai sesuatu ‘pakatan’ yang tidak dianggotai parti berkenaan akan turut tergugur secara automatik.- 19/1/2024