Ujian DNA sahkan…itu mayat Bella

Kini tiada lagi keraguan dan sudah sah rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat Jumaat lepas, ialah milik Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu.
Kseimpulan ini dibuat setelah polis menerima laporan analisis DNA sampel patologi yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor Ahad lepas.
Ia didapati sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak kepada ibu tunggal beranak dua itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata pihak polis telah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
“Analisa DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu sudah diterima polis hari ini,” katanya.
Suspek utama kes kehilangan Bella akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok Rabu.
Hal ini diberitahu Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada media menerusi kenyataan.
Jumaat lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.
Sebelum itu, Bella gagal dihubungi selepas keluar rumah dengan menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam 14 Dis tahun lepas, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran.
Dalam pada itu, kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, ketika dihubungi berkata jenazah akan dituntut pagi esok dan akan dibawa ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang di Batu Pahat.- 23/1/2024