Jabatan Peguam Negara sudah bagi lampu hijau SPRM dakwa Daim

Tandatanya mengenai apa cerita bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang disiasat SPRM terjawab hari ini.
Ini gara gara isterinya Toh Puan Naimah Khalid yang didakwa dulu di mahkamah yakni semalam Selasa kerana gagal patuhi notis isytihar harta.
Rupanya Daim sepatutnya sudah didakwa di mahkamah sejak minggu lalu lagi.
Perkara ini diberitahu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Rabu.
Katanya Jabatan Peguam Negara telah beri kebenaran kepada SPRM untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan itu di bawah Akta SPRM sejak minggu lalu.
Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal isytihar beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.
Namun pertuduhan belum dapat dilakukan kerana Daim dimasukkan ke hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.
Azam kecewa pada doktor yang merawat Daim yang didakwa gagal berterus-terang dengan pegawai penyiasat SPRM mengenai mengapa Daim dianggap tidak mampu untuk hadir di mahkamah.
“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke mahkamah.
“Kita dimaklumkan dia dimasukkan ke sebuah hospital.
“Kita buat observation dan mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa lagi.
“Itu betul la. Tetapi kita bertanya doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagi jawapan yang betul,” kata Azam.
Katanya, pilihan terakhir buat SPRM adalah membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Daim supaya pertuduhan dapat dibacakan.
“Tapi itu bukan pilihan kami yang sebenarnya. Kalau tak masuk hospital minggu lalu kita dah tuduh dah.
“Kita dah berhubungan dengan peguamnya,” katanya lagi.
Semalam Naimah yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Naimah dituduh gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.
Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika didapati bersalah.
Sementara itu Naimah menolak apa yang Azam kata.
Isteri Daim itu mendakwa dia atau pasukan guaman tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan.
Katanya Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan jenayah dan tidak menggunakan alasan dirawat di hospital bagi mengelak dibawa ke mahkamah.
“Saya boleh sahkan bahawa saya atau pasukan guaman tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan.
“Kami hanya diberitahu bahawa kenyataannnya akan dirakam. Baru hari ini ketika membaca laporan media saya tahu Daim akan didakwa,” katanya.
Naimah dakwa Azam cuba membayangkan Daim mengelak daripada berdepan pertuduhan serta memperkecilkan komitmen doktor yang bertugas.
“Biar saya sebut dengan jelas bahawa Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan, tidak kira di mana-mana dan akan bersungguh-sunggu mempertahankan diri berdasarkan undang-undang, kata Na’imah.
Katanya, tertakluk kepada kebenaran hospital, Daim sedia berdepan “pendakwaan politik” walaupun di hospital.
Dia bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk memutuskannya.- 24/1/2024