YANG VIRAL

KEMASKINI : Tun Dr Wan Junaidi angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan

TUN Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri kelapan pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kuching.

Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.

Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehor­matan Utama oleh 102 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Deputi Superintendan Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti dengan Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan di Dewan Lapau pada pukul 4 petang.

Wan Junaidi terlebih dahulu mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Baca artikel lain: Wan Junaidi tiba di Kuching sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak baharu

Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang Dipertua Negeri disaksikan oleh Premier Sarawak.

Wan Junaidi, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Februari ini telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat lepas di Istana Negara.

Pelantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 sehingga 26 Januari 2028, mengantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

— BERNAMA- 29/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Negeri baru Sarawak ganti Taib Mahmud

Perlantikan ini tidak mengejutkan.Ini kerana ia sudah jadi bahan spekulasi sejak minggu lalu.

Lagipun orangnya dikira cukup layak memegang jawatan itu.

Ini berdasarkan latar belakang karier politiknya dan ciri ciri keperibadian beliau.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini,Jumaat

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Junaidi, 77, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

Pelantikan Wan Junaidi adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Wan Junaidi antara paling lama jadi Ahli Parlimen.Beliau menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar dan kemudiannya Santubong selama 32 tahun.

Selain itu beliau pernah jadi Timbalan Menteri dan tiga jawatan Menteri .

Wan Junaidi tidak pernah terlibat dalam sebarang kontroversi politik.

Beliau tidak bertanding semula pada pilihanraya umum November 2022.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, Wan Junaidi menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England pada tahun 1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang dari 1982 hingga 2008.

Permulaan perjalanannya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum kelapan.

Beliau pertahankan kerusi itu selama dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Wan Junaidi berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu untuk empat penggal berturut-turut sehingga pilihan raya umum pada 2022.

Di peringkat Persekutuan pula menyaksikan beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2013.

Beliau memegang pelbagai portfolio penting seperti Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021).

Sepanjang perkhidmatannya di peringkat Persekutuan, jawatan yang paling memberi impak dan meninggalkan legasi beliau adalah semasa dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2021 hingga 2022.

Tidak lama selepas tidak bertanding semula pilihanraya umum November 2022,beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara mengantikan tempat Tan Sri Rais Yatim.-26/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button