Nampak uzur tetapi kenyataan Daim ‘garang’

Walaupun kelihatan agak uzur waktu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Isnin,Tun Daim Zainuddin tampil ‘garang’ menerusi kenyataan media yang dikeluarkan mengenai dakwaan tidak isytihar harta terhadapnya.
Bekas Menteri Kewangan itu yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan antara lain kata dalam kenyataan itu ,“Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.
Asalnya kenyataan itu cuba dibacakan Daim kepada para wartawan di luar mahkamah sebelum pulang setelah selesai didakwa.
Namun kerana suaranya tidak berdaya terlalu perlahan,isterinya Naimah telah bertindak hentikan.
Katannya beliau nak bawa Daim balik ke rumah.
Naimah kemudian serah kenyataan itu kepada peguamnya untuk diedarkan kepada para wartawan.
Sambil menyifatkan dakwaan terhadap dirinya itu bermotifkan politik Daim dalam kenyataan itu bertanya,“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?”
Beliau mendakwa Malaysia kini dibayangi sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa.
Kata Daim, pada tahun 2018, beliau turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika negara dihantui bayang-bayang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya.
“Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan.
“Kejujuran, integriti, tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik,”dakwanya.
Daim memetik firman Allah SWT dalam Surah an Nur dengan mengingatkan Anwar tentang balasan pedih di dunia dan akhirat mengenai fitnah keji dalam kalangan orang-orang mukmin.- 29/1/2024