Tengok siapa dengan Anwar…

Nampak macam biasa saja.Namun dalam konteks politik semasa…gambar ini ada cerita.Apa tidaknya.Cuba lihat siapa yang cukup mesra di sebelah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Orangnya tidak lain tidak bukan ialah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang,Perak Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Namanya agak hot kebelakangan ini kerana menjadi semacam jurucakap tidak rasmi bagi geng Ahli Parlimen PN yang ‘lompat’ umum sokong kepimpinan Perdana Menteri.
Setakat ini semua orang tahu sudah rasmi ada enam orang termasuk dirinya dan terbaru Ahli Parlimen PN Tanjong Karang,Zulkafperi Hanapi pada 24 Januari.
Empat lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Syed Abu Hussin juga bikin gempar bila baru ini dakwa ada sembilan lagi Ahli Parlimen PN akan ‘lompat’ menjelang sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari ini.
Beliau dulunya Ahli Parlimen UMNO kemudian masuk Bebas sekejap dan selepas itu PN.
Pada Ahad…Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mencuri perhatian bila hadir bersama Anwar di Program Jualan Ikan, Udang dan Sotong Murah Parlimen Tambun.

Tambun yang terletak di Ipoh ialah kawasan Parlimen Perdana Menteri.
Program berkenaan ialah jualan barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya pada harga murah dicelah peningkatan kos sara hidup.
Pada satu majlis di Ipoh juga Anwar telah umum Syed Abu Hussin dilantik mengetuai jawatankuasa menangani isu kenaikan harga makanan dan kos sara hidup yakni kluster di bawah Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol)
Naccol terdiri daripada 11 kementerian ditugaskan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Saya nanti tugaskan Syed Abu Hussin bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan, Naccol ini, saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang akan tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan di seluruh negara dan kena perluaskan dan kerapkan lagi,” kata Anwar.
Syed Abu Hussin turut hadir pada majlis itu memberitahu media bahawa beliau bersedia menerima tanggungjawab itu, dan berkata terdapat beberapa kaedah untuk menstabilkan harga barangan keperluan termasuk beras.
“Sukatan terawal ialah beras, diikuti barangan lain kerana beras kini menjadi isu kritikal.
“Jadi, jika saya diberi kuasa untuk menguruskan ini, Insya-Allah kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kerajaan ada kaedah untuk menstabilkan harga barangan makanan utama,” katanya.
Sementara itu dalam ucapan perasmian penutup di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak juga di Ipoh,Anwar percaya lebih ramai ahli parlimen pembangkang akan menyokong Kerajaan Perpaduan.
Ini katanya kerana hilang keyakinan terhadap parti mereka apabila perubahan kerajaan yang dijanjikan tidak berlaku.
Anwar berkata mereka hanya dijanjikan dengan janji-janji palsu dengan pelbagai langkah “tebuk atap” yang nyata tidak menjadi kenyataan dan memainkan persepsi negatif termasuk isu-isu perkauman.
“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.
“Dan apabila terhakis harapan, orang-orang, Ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata kestabilan Kerajaan Perpaduan termasuk gabungan dari Sabah dan Sarawak adalah kukuh dan pihak yang sentiasa cuba menggugatnya perlu menerima kenyataan gabungan itu akan kekal sehingga ke akhir penggal.
“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik memelihara perpaduan dan kepimpinan perlu menumpukan untuk memacu pertumbuhan dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).
“Saya yakin juga Tuanku Sultan Johor yang akan menjadi Agong akan mempertahan pendirian yang sama,” kata Presiden PKR itu.
Anwar dalam masa sama berkata Kerajaan Perpaduan perlu menumpu usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana mereka masih mempunyai empat tahun untuk membuktikan kejayaan mereka.
Katanya Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan prinsip sedia ada termasuk menjaga hak majoriti Melayu dan Bumiputera.- 28/1/2024