FOKUS

KEMASKINI : Buta sebelah mata…ramai terkejut lihat keadaan Daim

Ramai yang tertunggu tunggu untuk melihat kelibat Tun Daim Zainuddin bila beliau muncul di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pagi Isnin.

Bekas Menteri Kewangan yang terkenal dengan gelaran ‘Daim yang diam’ sudah lama tidak kelihatan dikhalayak ramai.

Tandatanya timbul baru baru ini bila isterinya Toh Puan Naimah Khalid beritahu wartawan suaminya sedang dirawat di sebuah hospital.

Beliau bagaimanapun enggan beritahu Daim sakit apa.Cuma katanya ia ‘isu personal’.

Sebelum ini tiada sebarang laporan media mengenai kesihatan Daim.

Oleh kerana berada di hospital SPRM tidak dapat dakwa Daim di mahkamah minggu lalu sekalipun sudah dapat lampu hijau dari pejabat Peguam Negara.

Pagi Isnin beliau tiba di komplek mahkamah dengan menaiki sebuah MPV berwarna putuh.

Beberapa pembantu angkat beliau keatas kerusi roda untuk dibawa ke Mahkamah Sesyen dimana beliau didakwa tidak isytihar harta.

Di situ jelas kelihatan Daim begitu uzur.

Paling ketara kelihatan sebelah mata kirinya ‘agak teruk’.

Keadaan kesihatannya diperjelaskan oleh peguamnya M Puravalen sewaktu persoalan tentang ikat jamin.

Malah katanya sebelah mata Daim sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mencadangkan Daim diikat jamin di antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga memohon beliau dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

M Purvalen kata mahkamah tidak perlu mengenakan syarat tambahan berdasarkan keadaan kesihatan anak guamnya yang mustahil mengunakan pasport bagi membuat perjalanan jauh.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

“Dia adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar, malah sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman,” katanya.

Sementara itu semasa hendak membacakan kenyataan kepada para wartawan di luar mahkamah suara Daim terlalu perlahan hingga tidak jelas kedengaran.

Ini mendorong isterinya Naimah menghentikan sidang akhbar di situ.

Kata Naimah beliau hendak bawa pulang Daim ke rumah kerana sudah letih dari pagi lagi datang ke mahkamah.

Beliau menyerahkan kenyataan Daim kepada peguamnya untuk diedarkan kepada para wartawan.- 29/1/2024


KEMASKINI : Daim akan didakwa di mahkamah Isnin ini…

Tun Daim Zainuddin yang keluar dari menjalani rawatan sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur Khamis lalu akan didakwa di mahkamah Isnin ini.

SPRM telah rekod keterangan dari bekas Menteri Kewangan itu semalam,Jumaat.

“Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin (29 Jan) atas kesalahan di bawah Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009, yang merupakan kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan aset,” kata Daim menerusi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh peguamnya Rajesh Nagaran hari ini,Sabtu. – 27/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Daim sudah keluar hospital…mungkin didakwa minggu depan

Ding dong mengenai bila Tun Daim Zainuddin akan didakwa di mahkamah kerana menjalani rawatan di hospital berakhir.

Bekas Menteri Kewangan itu sudah dibenarkan keluar hospital hari ini, Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu beliau mungkin akan dituduh mengikut Akta SPRM minggu hadapan.

Katanya peguam Daim sendiri memberitahu SPRM mengenai perkembangan terkini itu.

“Peguamnya telah berkomunikasi dengan IO (pegawai penyiasat) saya memberitahu Daim sudah keluar dari hospital.

“Apa yang saya faham, dia dibenarkan keluar awal hari ini.

“Kini IO sedang berkomunikasi dengan peguam Daim untuk menetapkan tarikh untuk dia ke mahkamah.

“Kemungkinan besar minggu depan,” katanya.

Menurutnya SPRM akan memaklumkan kepada media sebaik sahaja mereka mempunyai tarikh untuk pendakwaan Daim di mahkamah.

Beliau juga menjelaskan pihak SPRM tidak diberitahu sebab Daim dimasukan ke hospital.

Kata Azam ketika ini apa yang lebih penting ialah SPRM sudah boleh menetapkan tarikh untuk kes tersebut

Kelmarin, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.- 25/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button