Bersatu nak ambil tindakan undang undang kosongkan kerusi MP yang khianat…

Setelah melalui enam Ahli Parlimennya yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional berpaling tadah sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim…parti Bersatu akan bertindak menghalang ia terus berulang.
Parti itu telah membuat keputusan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat agar kerusi mereka dikosongkan.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin kata parti itu sedia berdepan pilihanraya kecil.
Untuk tujuan itu Bersatu juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.
Beliau beritahu demikian menerusi satu kenyataan Isnin ekoran mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Ahad malam.
Enam orang Ahli Parlimen dari Bersatu yang sudah umum sokong Anwar ialah Tanjung Karang Zulkaferi Hanapi ,Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Jumaat lalu Syed Abu Hussin mendakwa ada sembilan lagi wakil rakyat PN akan umum sokongan kepada kerajaan perpaduan menjelang sidang Dewan Rakyat 26 Februari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama atau kawasan yang terlibat.
BERKUT IALAH KENYATAAN MEDIA HAMZAH ZAINUDDIN
- Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 28 Januari 2024, yang dipengerusikan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin telah membincangkan banyak perkara terutamanya mengenai situasi terkini ekonomi negara yang suram dan beban sara hidup rakyat yang mendesak, ekoran masalah harga barang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti.
- Mesyuarat juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan BERSATU bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil. Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.
- Dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, Majlis Pimpinan Tinggi juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin selaku Presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
- Pada masa yang sama, beberapa langkah bagi membugarkan BERSATU juga telah diambil antaranya dengan melantik 3 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi baharu iaitu YB Dato’ Azman Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai, YB Dr. Afif Bahardin, ADUN Taman Medan dan YBhg. Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia.
- Perubahan kepimpinan BERSATU di peringkat negeri juga turut dilaksanakan di mana YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor baharu manakala YB Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan baharu. Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan YB Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini.
- Selain itu, beberapa lantikan Pegerusi Biro baharu juga telah dilunaskan iaitu YB Datuk Dr. Radzi Jidin (Biro Ekonomi); YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa); YB Dato’ Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan YB Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan) serta YBhg. Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu.
DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
SETIAUSAHA AGUNG
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
29 Januari 2024, Kuala Lumpur