RASMI…hukuman penjara Najib dikurang dari 12 ke 6 tahun…kekal di penjara sampai 2028

Semua sudah terjawab….Lembaga Pengampunan umum petang Jumaat bahawa tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikurangkan dari 12 tahun ke 6 tahun.
Manakala denda RM210 juta yang dikenakan keatas bekas Perdana Menteri itu dikurangkan ke RM50 juta.
Beliau dijangka akan kekal di penjara sampai 23 Ogos 2028
Berikut adalah kenyataan penuh Lembaga Pengampunan:
KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA PENGAMPUNAN BAGI WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, LABUAN DAN PUTRAJAYA KALI KE-61 2 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024. Sebanyak lima (5) kertas pengampunan termasuk permohonan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.
Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.
URUSETIA LEMBAGA PENGAMPUNAN
WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR, LABUAN DAN
PUTRAJAYA
BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG
JABATAN PERDANA MENTERI
2 FEBRUARI 2024
KEMASKINI : Anwar juga lontar teka teki pasal pengampunan Najib…”Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman”
Apa keputusan Lembaga Pengampunan pada Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi teka teki semasa yang paling top.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan pada tengahari Jumaat juga tidak mahu buka cerita.
Beliau sebaliknya menghangatkan lagi tandatanya mengenai isu itu bila hanya kata “Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman.” |
Beliau menjelaskan pengumuman keputusan berkenaan adalah urusan Lembaga Pengampunan.
“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu… sudah ada kepastian (keputusannya),”katanya.
Apabila diminta menjawab mengenai pengampunan diberikan kepada Najib, Anwar hanya menjawab “tunggu pengumuman”.
Ditanya wartawan sama ada Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan itu hari ini,jawabnya ringkas,”I believe so (saya rasa begitu).”
Anwar ditemui wartawan semasa makan tengahari di gerai nasi campur NanZura Lot 6, Kompleks Pertama dan kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Saluran TV Channel News Asia Singapura dalam laporannya mendakwa Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan.
Pada Khamis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.
Kalau dikira hari berkerja rasmi minggu ini ia berakhir pada hari ini Jumaat.
Apakah pengumuman itu akan dibuat petang ini ? – 2/2/2024
Pengampunan Najib…media Singapura dakwa hukuman dikurang dari 12 ke 6 tahun
Ketika media tempatan sedang menanti kenyataan rasmi dari Lembaga Pengampunan mengenai kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak…sebuah media terkenal Singapura tampil dengan satu laporan mengenainya.
Ia mendakwa Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Malaysia daripada 12 kepada enam tahun.
Laporan saluran televisyen Channelnewsasia (CNA) pada Rabu itu memetik sumber pegawai kanan kerajaan.
CNA juga mendakwa keputusan Lembaga Pengampunan dalam mesyuaratnya pada 29 Januari kelmarin mengurangkan denda RM210 juta yang dikenakan keatas Najib kepada jumlah yang tidak ditentukan.
Setakat ini www.x-press.my sendiri belum dapat mengesahkan kebenaran laporan ini.
CNA mempunyai pejabat cawangan di Kuala Lumpur.Juga diketahui kalangan wartawan saluran itu di sini mempunyai contact rapat dengan sebilangan ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Beliau masuk penjara pada Ogos 2022.
Menurut laporan CNA pengurangan itu bermakna Najib dijangka menyelesaikan hukumannya pada Ogos 2028.
Tetapi jika ditolak parol untuk berkelakuan baik, beliau dijangka bebas pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara.
Spekulasi hangat mengenai pengampunan Najib berlegar selepas Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengesahkan pada Selasa bahawa ahli lembaga termasuk dirinya sertai mesyuarat Lembaga Pengampunan pada hari Isnin.
Mesyuarat berkenaan adalah salah satu tugas rasmi terakhir Sultan Abdullah Ri’ayatuddin sebelum baginda berundur sebagai Yang Dipertuan Agongpada 31 Januari dan menyerahkan peranan itu kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan oleh Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu ketika kehangatan spekulasi mengenai isu pengampunan Najib Selasa semalam ,Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta pengamal media menantikan kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan.
Beliau merujuk kepada laporan sebuah portal yang memetik sumber mengatakan bahawa Najib telah mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata adalah penting bagi pengamal media memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berita itu diterbitkan.
Beliau berkata dalam isu-isu besar, adalah penting untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi apabila memilih untuk melaporkan berita berdasarkan sumber.
Ditemui wartawan lagi pada Rabu Fahmi ulangi kena tunggu kenyataan rasmi.
“Saya telah menyatakan kita perlu tunggu kenyataan media.
“Saya minta media dalam dan luar negara untuk kita tunggu kenyataan rasmi,” katanya
Ditanya pasal laporan CNA bahawa hukuman terhadap Najib dikurangkan daripada 12 ke enam tahun, Fahmi meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri.
Malah, dia berkata “saya bukan sumber CNA”.
“Tunggu kenyataan rasmi dan ikut. Kalau tidak timbul pelbagai reaksi.
“Kita perlu tunjuk profesionalisme”,” katanya.
Fahmi juga mengaku kabinet ada membincangkan isu berkaitan Najib tetapi menegaskan perkara itu diseleraskan oleh Lembaga Pengampunan.
“Kamu dan saya kena tunggu,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution beritahu wartawan kabinet dimaklum sepintas lalu mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan Isnin lalu.
Namun katanya mereka faham lembaga berkenaan bukan bidang kuasa kabinet.
“Lembaga Pengampunan seperti dalam perlembagaan, menyatakan dengan jelas bawah bidang kuasa siapa, keanggotaan bagaimana,”katanya.
Ditanya siapa yang akan mengumumkan keputusannya, Saifuddin menjawab dia tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Pengampunan.- 31/1/2024
BERITA SEBELUM INI : Apa cerita pengampunan Najib…?
Setelah selesai istiadat keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Pahang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa…perhatian kini bertumpu pada isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Apakah bekas Perdana Menteri yang sedang jalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah dalam kes SRC mendapat pengampunan dari Lembaga Pengampunan?
Tandatanya juga berlegar apakah soal pengampunan Najib ada dibincangkan oleh lembaga yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong itu.
Mesyuarat berkenaan ialah menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir pada Selasa dan baginda kembali sebagai Sultan Pahang.
Desus desus mengenai isu ini jadi semakin hangat bila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang jaga portfolio Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustapha mengesahkan kepada wartawan selepas satu acara di Kuala Lumpur Selasa bahawa lembaga itu telah adakan mesyuaratnya Isnin semalam.
Katanya mesyuarat lembaga itu berlangsung di Istana Negara.
Dr Zaliha enggan beritahu apa yang dibincang dalam mesyuarat itu.
“Tunggu pengumuman rasmi oleh lembaga itu,”katanya.
Dr Zaliha ialah salah seorang anggota Lembaga Pengampunan.
Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).