FOKUS

Isu pengampunan Najib : “Kita dipermainkan akhirnya”…- kata Ketua Pemuda UMNO

Seperti yang diduga – apa sekalipun…samaada dapat, tidak dapat atau separuh seperti sekarang – keputusan Lembaga Pengampunan keatas Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencetuskan kontrovesi panas.

Ini kerana nyata terdapat dua kumpulan besar yakni penyokong bekas Perdana Menteri itu yang mahu beliau diberi pengampunan penuh dan satu lagi kumpulan yang tentang sebarang bentuk pengampunan atas kesalahan yang mereka anggap serius itu.

Lembaga Pengampunan umum petang Jumaat bahawa tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikurangkan dari 12 tahun ke 6 tahun.

Manakala denda RM210 juta yang dikenakan keatasnya dikurangkan ke RM50 juta.

Beliau dijangka akan kekal dalam penjara sampai 23 Ogos 2028.

Paling mencuri perhatian setakat ini ialah kenyataan pedas Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh yang membangkitkan segala macam tandatanya – apakah maksud beliau?

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman facebooknya beliau nampak macam tidak puashati terhadap keputusan berkenaan.

“Kita dipermainkan akhirnya.Jangan ingat kami tidak tahu apa yang berlaku.Sudah tiba masanya” …itu saja katanya.

Beliau yang dihubungi seorang wartawan sebuah portal berita kemudian enggan mengulas lanjut apa sebenarnya maksud kata kata itu.

Beliau juga kata pihak tertentu pasti mengetahui maksud di sebalik hantaran itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi juga tidak berselindung perasaan kecewanya.

Dalam kenyataan ringkas di facebooknya beliau berkata : Najib terus dilukakan…

“Najib gagal dapat pengampunan penuh. Ia amat melukakan. Orang lain boleh, dia tidak boleh. Ada yang mahu ia tidak dibolehkan.

Banyak pihak akan berpesta. Najib adalah “wow” faktor pemulihan UMNO. Kini senjata kebangkitan UMNO ditumpulkan.

Najib mesti kembali aktif memberi idea dan kritikan dalam isu ekonom dan kesejahteraan rakyat. Fizikal terkurung tetapi pemikirannya tidak.

Buatlah apa sahaja kepada Najib, yang setia tetap bersama. Kifarah tidak akan salah alamat.” kata Puad.

Sementara itu anak Najib,Nooryana kecewa beliau tidak diberi pengampunan penuh.

“Datuk Seri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” katanya.

Nooryana berkata mereka yang mengikuti kes secara dekat sudah tentu setuju dengan penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa berlaku ketidakadilan besar terhadap Najib.

Justeru, kata Nooryana keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat berkata, Lembaga Pengampunan perlu memberi penjelasan alasan pengurangan hukuman penjara dan denda keatas Najib yang kini menjalani hukuman berkaitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihtan itu berkata, walaupun lembaga itu tidak terikat untuk menjelaskan keputusan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun itu tetapi ia perlu dilakukan atas kepentingan awam.

“Saya rasa ini adalah kes berkepentingan awam yang tinggi. Ia membabitkan seorang bekas perdana menteri dan masih ada pengikut dan terlibat dalam jenayah yang dianggap ramai rakyat Malaysia sebagai serius.

“Ini satu keputusan yang sukar, dan kita hormatinya kerana dibuat mengikut undang-undang. Saya rasa penting wakil lembaga menjelaskan alasan pengurangan itu diberikan,” katanya.

Pada Khamis semalam, pada Khamis dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di YouTube Khairy berkata, sebarang keputusan dibuat Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib akan memberi implikasi besar terhadap negara.

Beliau berkata, sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu diampunkan, namun kes yang lain masih dibicarakan, ia akan merumitkan keputusan lembaga tersebut.

“Apa-apa keputusan yang dibuat atau diumumkan nanti memberi implikasi yang sangat besar kerana perlu ingat bahawa Najib ada kes yang sedang berjalan.

“Ia akan rumitkan lembaga kerana boleh ampunkan beliau untuk kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC), tapi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dibicarakan.

“Jadi, bagaimana keputusannya, adakah ia sekali dengan pakej pengampunan dan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)? Saya tidak tahu,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat malam umum parti telah menangguhkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur esok, Sabtu.

Sebaliknya, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pagi esok untuk membincangkan perkembangan politik mutakhir khususnya bersangkutan dengan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib oleh Lembaga Pengampunan.

Kenyataan itu tidak menyebut tarikh baru kolokium itu akan diadakan.

Kolokium yang diketuai Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani itu sepatutnya dihadiri 2,000 pemimpin Umno daripada semua 191 bahagian di seluruh negara.- 2/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button