Fitnah beli Vellfire…Mahfuz kena bayar RM250,000 pada Sanusi

Hantaran dimuat naik Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar di Facebooknya iaitu ‘Komen Politik Semasa’ yang mengandungi fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan pembelian Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi, pada 17 Oktober 2020 mengundang padah.
Pada Rabu Mahkamah Tinggi Alor Star memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Muhammad Sanusi Nor berhubung saman fitnah berkaitan pembelian sebuah kereta mewah, empat tahun lalu.
.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari.
Hakim itu dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kesemua kenyataan Mahfuz kononnya Muhammad Sanusi membeli Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Menteri Besar Kedah itu.
Mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi yang perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dan terma permohonan maaf hendaklah disemak dan dipersetujui oleh plaintif.
Mahfuz turut diperintah menarik balik hantaran Facebook dan video yang dimuat naik pada tarikh itu dan dilarang memuat naik atau menyiarkan apa-apa kenyataan atau video atau kandungan media atau apa-apa bentuk yang mengandungi maklumat atau kandungan yang serupa atau menyentuh isu yang sama atau berkaitan.- 31/1/2024