Sunday - 4, May 2025

KEMASKINI: Akauntan,pemandu pelancong dan pelajar antara 6 wanita terlibat video lucah ‘Hot Daddy’ didakwa

Share

Kawasan mahkamah majistret Kuala Lumpur pada Rabu gamat sikit bila enam wanita didakwa atas tuduhan memiliki video lucah yang dikaitkan dengan bapa tiga anak dikenali ‘Hot Daddy’.

Empat daripada wanita berkenaan termasuk seorang penuntut universiti, didenda di antara RM2,500 dan RM4,800 selepas mengaku salah atas tuduhan memiliki video lucah bagi maksud menunjukkannya secara awam.

Tertuduh yang mengaku salah itu adalah Nurnabilah Ayuni Hanafi (penganggur), 22; Amira Natasha Mohammad (pemandu pelancong), 26; Nur A’liaa Muhamad Rosly (penuntut universiti), 22; dan Farah Adila Hanum Khairuddin (eksekutif pemasaran), 36.

Mereka juga diperintahkan dipenjara antara sebulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dua lagi wanita iaitu akauntan, Norfatihah Ramle, 30, dan penuntut kolej Felecia Lisa Nandong, 21, tidak mengaku bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 dan Norfatihah diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 12 Mac dan 26 Mac ini bagi sebutan kes.

Jumaat lalu ‘Hot Daddy’ atau nama sebenar Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, didakwa mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Hasli Ikhwan Arif dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Mereka ditahan pada 17 Januari lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan oleh JSJ sebelum ini mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan kadar RM100 bagi 200 video sebulan dan RM20 bagi 13 video sebulan.- 31/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Kes ‘Hot Daddy’…6 lagi wanita ditahan

Pada Jumaat lalu dua wanita dihadapkan ke mahkamah bersama lelaki digelar ‘Hot Daddy’ dalam kes kegiatan jual video aksi seks mereka sendiri menerusi media sosial.

Terbaru seramai enam orang lagi wanita ditahan.

Mereka berusia berusia 21 hingga 36 tahun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek diberkas pada minggu lepas menerusi fasa kedua Op Daddy.

“Siasatan mendapati kesemua wanita itu melakukan hubungan seks secara sukarela, tiada paksaan dan ada yang bermotifkan keuntungan. Kesemua mereka telah direman bagi membantu siasatan, bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam penghasilan video seks,” katanya.

Mohd Shuhaily turut mengingatkan orang awam bahawa, tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang menyimpan bahan-bahan pornografi di dalam gajet termasuk telefon bimbit, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Beliau beritahu demikian pada sidang akhbar selepas program Dialog Awam bersamanya di Klang,Isnin.- 29/1/2024

BERITA SEBELUM INI : ‘Hot Daddy’ yang jual video aksi seks sendiri di media sosial didakwa di mahkamah

Inilah wajah ‘Hot Daddy’ dan dua rakan wanitanya yang diberkas polis pada 17 Januari lalu kerana kegiatan jual video aksi seks mereka sendiri menerusi media sosial.

Lelaki itu Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norhidayah Mahadi, 24 dan Norshazrina Md Zamri, 27 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X.

Lelaki berstatus duda itu yang juga dikatakan bergiat sebagai gigolo diberkas kerana menjalankan aktiviti menjual rakaman video seksnya dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial ditahan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Di rumah di Janda Baik dimana mereka ditahan turut didiami oleh bapa lelaki itu.

Hasil Ikhwan ada tiga anak yang masih kecil, berusia 12, 10 dan empat tahun.

Siti Aminah selepas mendengar hujah pendakwa dan pembela menetapkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, mengambil kira kepentingan awam, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiganya kerana pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah yang serius.- 26/1/2024

Read more

khabar terbaru