Mansuh pencen: “Kalau tanya saya, saya boleh tangguh biar PM lain yang buat”….

Dari bunyi ayatnya sudah terang lagi bersuluh cadangan pemansuhan pencen penjawat awam akan jalan terus.
Kalau ikut pertimbangan politik memang agak berat untuk pikul cadangan yang libatkan periuk nasi ramai orang.
Namun kita sudah boleh buat andian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah set untuk kasi jadi cadangan yang kontrovesial ini.
Pendirian itu nampak agak jelas disampaikan menerusi ucapan ketika merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan) di Rembau Khamis.
Cadangan itu menjadi bahan polimek hangat sejak ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada 24 Januari baru ini.Katanya ia cuma libatkan kakitangan awam baru saja manakala yang lama kekal dapat pencen.
Dalam ucapan itu Anwar maklumkan bahawa cadangan nak mansuhkan pencen bukan cerita baru.
Katanya cadangan itu wujud sejak beliau kali pertama jadi Menteri Kewangan pada tahun 1990han dulu.
“Kes berkaitan isu pencen penjawat awam ini sudah lama. Semasa saya menjadi Menteri Kewangan dulu iaitu tahun 90-an, ada cadangan untuk mengkaji semula bahawa keputusan untuk membatalkan skim saraan pencen ini dikemukakan sejak tahun 90an,”katanya.
Beliau bimbang jika sesuatu langkah tidak diambil nanti tiba masanya pencen tidak mampu dibayar.
kata Anwar beliau boleh lepas tangan serah hal itu ditanggong oleh Perdana Menteri lain.
“Kalau tanya saya, saya boleh tangguh biar perdana menteri lain yang buat. Tapi sampai di suatu peringkat, tak boleh bayar (pencen). Sebab itu kita kena lihat fakta, unjurannya.
Beliau beritahu cadangan pemansuhan pencen penjawat awam belum dimuktamadkan dan perlu diperjelas supaya penjawat awam yang baharu, mendapat maklumat yang tepat serta tidak merasakan mereka kelompok orang yang rugi, jika sistem saraan berkenaan dilaksanakan.
Menurut Perdana Menteri beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu di Dewan Rakyat, jika mendapat persetujuan Kabinet.
“Kalau Kabinet bersetuju, saya akan bentangkan (di Dewan Rakyat) dan kalau ada Ahli Parlimen hendak tolak, dia tolak tapi saya akan bentang atas tanggungjawab moral,” katanya.
Beliau juga jelas membayangkan bahawa langkah pemansuhan pencen itu akan turut libatkan orang politik .
Anwar berkata, kerajaan bersedia mendapatkan pandangan daripada Ahli Parlimen terlebih dulu walaupun mungkin akan ada permintaan daripada mereka untuk mewujudkan elaun khas dan sebagainya seperti penjawat awam.
“Saya akan dengar kerana setakat ini belum lagi bentangkan kepada ahli-ahli Parlimen kecuali perbincangan awal. Sukar bagi saya hendak nyatakan jika dibuat pengecualian kepada orang politik.
“Kalau dia hendak elaun-elaun khas atau lain-lain seperti juga penjawat awam, boleh bincang tetapi dari segi ‘consistency’ (keseragaman) dalam memperkenalkan sesuatu dasar, ia perlu bersama,” katanya.
Dalam ucapan itu Anwar juga memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja sealiran menyokong langkah kerajaan mempertingkat tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.
Beliau menyeru semua pemimpin serta penjawat awam agar bersama-sama memerangi rasuah dan menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk meningkatkan martabatnya sebagai negara yang hebat.
“Pagi tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Baginda sealiran dan mahu menyokong langkah-langkah peningkatan tatakelola untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.
“Saya fikir ini kesempatan yang baik, saya ingin menyeru semua penjawat awam memberikan khidmat sebaik mungkin… saya yakin Malaysia diangkat kalau kita gunakan dasar yang betul dan bersihkan daripada amalan bobrok,” katanya.
Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Perdana Menteri juga berkata negara ini tidak mengizinkan kuasa serta sistem pemerintahan dijadikan kesempatan untuk memunggah kekayaan dan perkara itu perlu dinoktahkan sebagai pengajaran.
“Pemimpin seharusnya memikul tanggungjawab sebagai satu amanah, pengukuran kejayaan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bukan berbilion ringgit digondolnya,” kata beliau.
Anwar berkata sepanjang setahun pemerintahan, beliau tidak pernah mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan keputusan Badan Kehakiman.
“Sebab itu saya memberi laluan penuh kepada SPRM, saya tidak memberi arahan untuk menangkap individu A, menggeledah rumah individu B, saya beri arahan umum, hendak selamatkan negara mesti cari jerung besar, beri satu pengajaran supaya hal ini tidak berlaku lagi,” katanya. – 1/2/2024