KEMASKINI : Rafizi jalani pembedahan tulang belakang…

Ingat balik…Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Oktober tahun lepas pernah dilapor media mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Beliau kemudian dilaporkan stabil dan seterusnya kembali berkerja.
Kini Rafizi sedang dirawat di sebuah hospital.
Beliau telah jalani pembedahan tulang belakang.
Rafizi memberitahu menerusi facebook beliau akan berada di hospital selama dua minggu lagi.
‘Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan. Tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu.
‘Saya kena serangan jantung dalam bulan Oktober 2023. Saya tidak fikir ia disebabkan tekanan kerja dan seumpamanya, lebih kepada keadaan kolesterol saya yang memang tinggi sejak saya muda.
‘Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolesterol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat.
‘Alhamdulillah, prosedur untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat berjalan dengan baik. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menjaga saya dengan baik.
Di minggu ketiga Januari 2024 pula, saya kena COVID (buat kali pertama). Saya tidak pernah kena COVID sebelum itu. Akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang menyebabkan berlaku slipped disc.
Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit.
Diagnosis dari MRI menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan (compression) dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang (yang menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.
‘Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan UPM yang merawat saya’, katanya.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi beliau.
Dalam perkongsian menerusi laman Facebook dan X pada Isnin, Perdana Menteri mendoakan ahli parlimen Pandan itu diberikan kesembuhan segera.
“Berkesempatan ziarah Menteri Ekonomi, saudara Rafizi Ramli yang sedang dirawat di hospital.
“Alhamdulillah keadaannya bertambah baik. Mendoakan saudara Rafizi diberikan afiyah sesegera mungkin, insya-Allah,” katanya.
Anwar bagaimanapun tidak menyatakan tarikh dan waktu serta hospital Rafizi dirawat.- 19/2/2024