FOKUS

Ding dong….Bersatu VS ‘enam jahanam’

Siapa saja boleh naik bingung kalau ikuti ‘tembak menembak’ antara pimpinan Bersatu dengan enam Ahli Parlimen parti itu atau digelar ‘enam jahanam’ yang telah lompat sokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah riwayat politik mereka akan tamat bila parti gabungan Perikatan Nasional itu luluskan pindaan perlembagaan pada Perhimpunan Agung Khas 2 Mac ini?

Kalau ikut cakap pimpinan Bersatu kedudukan enam jahanam akan gugur sebagai Ahli Parlimen dan pilihanraya kecil perlu diadakan.

Ia melibatkan kerusi Labuan yang diwakili oleh Datuk Suhaili Abdul Rahman,Kuala Kangsar – Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Gua Musang – Mohd Azizi Abu Naim, Jeli – Zahari Kechik , Bukit Gantang – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – Bukit Gantang dan Tanjong Karang – Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Enam mereka cuma umum sokongan pada Anwar tetapi kekal sebagai ahli Bersatu.

Maka Akta Lompat Parti yang mewajibkan Ahli Parlimen kena kosongkan kerusi tidak boleh diguna pakai dalam kes mereka.

Kelompongan ini yang menjadi polimek semasa kerana ia mewujudkan senario yang agak aneh.

Bersatu nampaknya cukup yakin ia dapat cantas dan rebut balik enam kawasan Ahli Parlimen yang didakwa khianat pada parti jika pilihanraya kecil diadakan.

Betul tidak betul anggapan mereka ia sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Apapun setakat berita ini ditulis pada 19 Februari belum ada penentuan rasmi mengenai hal ini.

Perhimpunan Agung khas pada 2 Mac itu akan diadakan susulan keputusan mesyuarat pimpinan parti itu pada 29 Januari lalu untuk memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan.

Menjelang perhimpunan itu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris telah ‘ hulur salam’ dengan berkata enam Ahli Parlimen yang berpaling tadah, akan terselamat daripada dipecat jika menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya mereka juga tidak perlu mengosongkan kerusi jika mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan kepada Anwar sebelum Perhimpunan Agung Khas parti, 2 Mac ini.

Bagaimanapun, katanya, enam ahli Parlimen itu mungkin hanya dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan parti.

“Peluang buat mereka yang mengisytiharkan menyokong Anwar masih terbuka jika umum tarik balik sokongan, keahlian dan kedudukan sebagai ahli Parlimen selamat.

“Kita difahamkan, ada dalang dan individu tertentu cuba menghasut enam ahli Parlimen itu kekal menyokong Anwar dengan memberi alasan pindaan fasal 10 perlembagaan parti tidak akan memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Namun setakat ini ia tidak langsung bikin geng enam jahanam goyang.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili secara terbuka dakwa hanya Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mahkamah sahaja yang boleh ‘menamatkan riwayat’ politik enam ahli Parlimen Bersatu itu.

Beliau mendakwa pindaan Perlembagaan Bersatu itu tidak akan memberi kesan pada mereka.

“Macam mana nak tamat riwayat enam Ahli Parlimen Bersatu yang sokong PMX (Anwar), sedangkan untuk mengosongkan kerusi Parlimen ini adalah bidang kuasa pertama ialah Speaker Dewan Rakyat…kedua mahkamah bukan perlembagaan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Suhaili turut menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Razali bahawa pindaan Perlembagaan parti itu akan menamatkan riwayat enam ahli Parlimen itu yang digelar ‘enam jahanam’ sebagai tidak berasas.

Malah, kata beliau, cadangan untuk meminda Perlembagaan Bersatu itu juga tidak akan mengubah pendiriannya untuk kekal menyokong Anwar.

Suhaili turut bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Labuan dalam pilihan raya kecil sekiranya ia diadakan.

Itu satu hal…bagaimanapun tentang kemungkinan yang didakwa oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang ini.

Baru baru ini Syed Abu Hussin dakwa bukan 1, bukan 2, bukan 10 tapi sekurang-kurangnya 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri menjelang 28 Febuari ini.

I“Jadi, sama-sama kita tunggu dan lihat jika lebih ramai ahli Parlimen akan mengisytiharkan sokongan kepada (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya selepas program Jualan Rahmah di Changkat Jering, Perak, Rabu 7 Feb lalu.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Syed Abu Hussin Hafiz juga menafikan bahawa beliau telah menjadi perantara “urus niaga” untuk ahli Parlimen lain menyokong kerajaan, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Saya bukan ‘broker’. Saya bercakap benar dan saya (tidak menghubungi) mana-mana daripada mereka.

“Apa yang saya boleh beritahu Pembangkang melakukan sesuatu yang tidak bermakna… mustahil jika ada ahli parlimen (kerajaan) mahu menyertai pembangkang.

“Mereka tidak jaga dengan baik,” tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan Bersatu akan diambil terhadapnya, beliau berkata beliau bersedia untuk menghadapi akibatnya.

“Kalau mereka nak ambil tindakan undang-undang, saya terima dan kita akan lawan di mahkamah.

“Tetapi apa yang mereka rancangkan akan menjadi sia-sia kerana tidak ada dalam perlembagaan parti yang menyatakan tindakan boleh diambil… selagi perlembagaan parti tidak dipinda (ini tidak boleh berlaku).

“Saya dan rakan-rakan hanya menyokong kerajaan tetapi kami tidak meninggalkan parti,” tegasnya.

Jika betul seperti dakwa Syed Abu Hussin ia sudah tentu membuka satu eposid baru dalam krisis dalaman Bersatu.

Juga jika betul dakwaan pimpinan Bersatu ia boleh tamatkan riyawat politik enam jahanam menerusi pindaan perlembagaan parti rakyat Malaysia akan berdepan dengan banyak pilihanraya kecil tidak lama lagi.

Buat masa ini semuanya masih satu tandatanya.- 19/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button