YANG VIRAL

PM nafi cadangan beras putih Malaysia Madani akan wujudkan campurtangan kartel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh bahawa jika cadangan beras putih Malaysia Madani dilaksanakan ia akan menghapuskan beras putih tempatan yang lebih murah di pasaran.

Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, cadangan asal oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.

Anwar sebaliknya kata adalah tidak benar cadangan berkenaan akan mewujudkan campurtangan kartel dalam industri beras negara.

“Tidak, ini boleh sekat campur tangan kartel,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Kuala Lumpur.

Apapun Anwar menjelaskan kerajaan belum membuat ketetapan mengenai cadangan mewujudkan Beras Malaysia Madani yang diumumkan Syed Abu Hussin sebagai pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup (Naccol).

“Ia akan dibincangkan dalam Naccol dan belum ada keputusan,” katanya lagi.

Semalam,Ahad Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, juga berkata kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani yang diumumkan jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup, Rabu lalu.

Menjelaskan kekeliruan pengumuman oleh Syed Hussin, Mohamad berkata sebarang ketetapan harus berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada kabinet.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan lanjut.- 19/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button