TAHUKAH ANDA

Mahkamah Rayuan tolak keputusan Mahkamah Tinggi yang bebaskan Muhyiddin

Ingat balik…pada 15 Ogos tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan menyalah guna kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu menerusi projek Jana Wibawa.

Namun hari ini Rabu…Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Panel hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin telah terkhilaf dalam keputusannya bahawa keempat-empat tuduhan itu tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Ia bermakna keempat-empat tuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut dikembalikan semula di hadapan Mahkamah Sesyen.

Pada 15 Ogos tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan salah guna kuasa adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Dia berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Hakim menegaskan antara kekurangan kejelasan mengenai empat pertuduhan itu ialah sama ada Muhyiddin dituduh membuat keputusan yang menyalahi undang-undang atau menggunakan kedudukannya secara menyalahi undang-undang.

Hakim menolak dakwaan pihak pendakwaan bahawa butiran dan perincian akan didedahkan semasa perbicaraan jenayah, menegaskan bahawa pertuduhan mestilah mengandungi butir-butir yang mencukupi untuk membolehkan Muhyiddin lebih bersedia untuk berdepan dakwaan semasa perbicaraan.

Walaupun dilepas dan dibebaskan dari empat pertuduhan itu , Muhyiddin masih menghadapi tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.- 28/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button