FOKUS

Kecoh sidang Dewan Rakyat…macam dah tak ada ubat

Ingatkan senarionya mungkin berbeza setelah mendapat teguran keras dari Yang Dipertuan Agong semasa merasmikan sidang Parlimen Isnin lalu…namun keadaanya ibarat macam tidak ada ubat.

Budaya lama yakni…perang dan perang…antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terus menyelubungi suasana sidang Dewan Rakyat semalam Selasa dan hari ini Rabu.

Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin minta Ahli Parlimen jaga tatatertib dalam dewan.

“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk. Ini adalah yang dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda.

Setelah sidang diwarnai dengan tindakan keluar dewan beramai ramai pada Selasa kerana memprotes pada dakwaan kerajaan tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat…tengahari Rabu sidang kecoh sakan lebih 15 minit.

Ia meletup ketika Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Keadaan menjadi panas bila beliau mendakwa telah ditawar habuan dan diugut supaya mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bertubi-tubi mereka menghubungi saya sehingga akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa.

“Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di (Hotel) Westin, Bukit Bintang. Kalau nak sebut pasal langkah, (ini) ‘Langkah Westin’. Kemudian pindah tempat (ke) JW Marriott, ‘Langkah Marriott’.

“Selepas itu saya diam, sebab salah seorang yang bertemu itu rupa-rupanya kawan saya sehinggalah pada Istiadat Pembukaan Parlimen, Isnin lepas.

“Pada petang Isnin itu, saya diajak berjumpa di (Hotel) Corus, Jalan Ampang. Kemudian, tengah malam Isnin telefon untuk jumpa di Saujana Subang. Saya ada rekod, jangan cuba persoalkan nanti saya keluarkan satu-satu,” katanya.

Wan Saiful turut mendakwa beliau telah ditawarkan dengan habuan termasuk peruntukan Parlimen berjumlah RM1.7 juta sekiranya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Modus operandinya teliti, berjumpa di tempat tertutup, dalam bilik hotel dan nama individu berjumpa dengan saya juga, saya yakin bukan nama sebenar.

“Mereka guna nama ‘Rahim’,’Arman’ dan ‘Hasnan’. Namun ada satu nama yang diulang berkali-kali seolah-olah inilah punca kuasa, mereka sebut nama Farhan. Saya tak kenal dan tak pernah jumpa (Farhan),” dakwa beliau.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Wan Saiful supaya menghentikan naratif sedemikian dan tidak lagi bercakap mengenai soal itu kerana kenyataan bersifat sangkaan tidak baik.

Pendedahan itu juga membangkitkan rasa tidak puas hati ahli-ahli Parlimen kerajaan termasuk Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani); RSN Rayer (PH-Jelutong); Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur).

Kesemua ahli Parlimen kerajaan itu meminta Johari menghentikan kenyataan Wan Saiful dan mendesak supaya Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat laporan polis sekiranya dakwaan itu benar.

RSN Rayer menggesa Wan Saiful membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaannya itu.

Mereka menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin di Dewan Rakyat.

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” kata RSN Rayer.

Wan Saiful juga dicabar jika berani mengulangi tuduhannya di luar parlimen.

Pada akhir pendedahan itu, Wan Saiful menegaskan tidak akan sama sekali terpengaruh dengan habuan-habuan yang didakwa ditawarkan itu.

“Saya bimbang keselamatan diri saya, anak-anak dan isteri tetapi saya berserah kepada Allah sekiranya itu adalah niat buruk kepada saya.

“Saya tak akan boleh dibeli dengan tawaran rasuah, kalau nak mengharapkan saya membelot dengan perjuangan ini, tak sama sekali dengan rasuah yang ditawarkan,” katanya.

Sebelum ini Johari telah mendesak Wan Saiful tarik balik satu dakwaan yang melibatkan nama Perdana Menteri.

Beliau juga beri amaran akan kenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen itu jika beliau teruskan buat dakwaan yang tidak dapat disahkan kesahihannya.- 28/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button